Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu kematian Ganapathy: Polis siasat seorang lagi wartawan M'kini

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis hari ini mengambil keterangan seorang lagi wartawan Malaysiakini berhubung tiga artikel yang diterbitkan portal berita itu.

Ketiga-tiga artikel berkenaan berkaitan peniaga susu lembu A Ganapathy, 40, yang meninggal dunia ketika dirawat di hospital selepas ditahan polis Feb lalu.

Wartawan Malaysiakini B Nantha Kumar memberi keterangan di pejabat Malaysiakini, Petaling Jaya pada pukul 10 pagi, ditemani peguam Kee Hui Yee daripada firma guaman Kanesalingam & Co.

Nantha merupakan kakitangan Malaysiakini ketiga memberi keterangan berhubung kes ini.

Pada 18 Mei, subeditor Malaysiakini, Rusnizam Mahat dan Aedi Asri Abdullah dipanggil memberi keterangan (bawah) di ibu pejabat polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Keterangan hari ini diambil oleh Inspektor Shahrir Mohamad dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman selama kira-kira sejam.

Difahamkan kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

Laporan-laporan itu memetik kenyataan keluarga Ganapathy, peguamnya serta kenyataan media MIC.

Laporan-laporan itu bertajuk "Peguam: Bedah siasat tunjuk Ganapathy mati akibat cedera teruk di kaki, bahu", "Mangsa didakwa dipukul polis mati lepas lebih sebulan di ICU" dan "MIC tuntut siasatan bebas berhubung kematian Ganapathy".

Peguam keluarga Ganapathy, K Ganesh memberitahu Malaysiakini, anak guamnya setakat ini belum dipanggil memberikan keterangan.

Naib Presiden MIC C Sivarraajh juga memberitahu perkara sama tetapi bersedia memberikan kerjasama atas siasatan polis.

C Sivarraajh

Malaysiakini difahamkan laporan polis dibuat oleh pegawai penyiasat yang mengendalikan siasatan kes kematian Ganapathy.

Pada 11 Mac lalu, ibu mendiang, S Thanaletchumy, 60, membuat laporan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Gombak berhubung dakwaan anaknya dipukul ketika dalam tahanan.

Mendiang meninggal dunia di Hospital Selayang, Kuala Lumpur pada 18 April.

Pada 30 April lalu, ketua polis daerah Gombak ketika itu Arifai Tarawe dalam sidang media berkata siasatan awal mendapati Ganapathy tidak pernah membuat aduan dipukul oleh pihak polis, sama ada kepada majistret atau pegawai perubatan yang merawatnya.

Bagaimanapun, Arifai ketika itu berkata siasatan masih berjalan dan kertas siasatan akan dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya.