Skip to main
Logo Malaysiakini

Adun dakwa sukarelawan diminta tak lagi bawa pesakit sebab 'kekurangan katil'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah menggesa Menteri Kesihatan Dr Adham Baba memberi penjelasan berhubung perkhidmatan ambulans di Hospital Serdang yang didakwa menolak untuk membawa pesakit Covid-19 yang berdepan kesukaran bernafas.

Dia juga mendakwa selepas sukarelawan membawa pesakit Covid-19 ke hospital itu semalam, kakitangan meminta agar mereka tidak lagi membawa pesakit memandangkan kekurangan katil di sana.

"Ini amat mengejutkan kerana Hospital Serdang bukan sahaja kekurangan perkhidmatan ambulans, tetapi kapasiti untuk merawat pesakit Covid-19 juga amat tidak mencukupi. Saya yakin ini bukan sahaja berlaku di Hospital Serdang tetapi juga berlaku di hospital di kawasan Lembah Klang.

"Sudah hampir dua tahun wabak Covid-19 berlarutan, pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak cekap dan utamakan politik telah gagal untuk merancang sehingga kapasiti infrastuktur kesihatan negara sudah berapa di tahap kritikal.

"Ini bukan sahaja menjejas keselamatan pesakit Covid-19, tetapi juga pesakit yang lain. Akhirnya kualiti kesihatan rakyat diabaikan," katanya dalam kenyataan.

Dia berkata pusat khidmatnya telah mengubah suai sebuah van untuk membawa pesakit ke hospital selepas menerima banyak aduan berkenaan kesukaran pesakit untuk mendapatkan khidmat ambulans sejak beberapa bulan lalu.

"Amat mengecewakan apabila sukarelawan sampai ke kaunter kecemasan Hospital Serdang bersama seorang pesakit Covid-19 semalam, kakitangan hospital memberitahu pihak kami supaya jangan hantar lagi pesakit Covid-19 ke sana disebabkan sudah tidak cukup katil," dakwanya.

Dalam satu lagi insiden, dia mendakwa seorang wanita yang tinggal di Taman Bukit Serdang yang mengalami kesukaran bernafas menghubungi hospital agar ambulans untuk datang mengambilnya, kira-kira pada pukul enam pagi tadi.

"Bapa dan suaminya di hospital dan pusat kuarantin, tinggal dia dan dua anak di rumah sahaja. Amat mengecewakan operator Hospital Serdang berkata tiada ambulans dan minta dia datang sendiri.

"Ini bukan satu isu kecil, ia telah berlaku secara berterusan sejak tahun lepas dan telah menunjukan kegagalan sistem kesihatan negara kita," katanya lagi.

Malaysiakini telah menghubungi Pengarah Kesihatan Selangor Dr Sha'ari Ngadiman, Pengarah Hospital Serdang Dr Rohana Johan dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkenaan dakwaan ini.

Menurut laporan mingguan Institut Kesihatan Negara, terdapat 11,642 katil hospital untuk pesakit Covid-19 pada minggu lalu, termasuk untuk kes yang disyaki (PUI).

Kadar purata penggunaan pula adalah 7,913, iaitu 68 peratus. Ia merupakan penurunan sebanyak lima peratus berbanding minggu sebelumnya.

Bagamanapun, kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) kekal tinggi dengan 85 peratus daripada 1,788 katil digunakan.

Keadaan di hospital swasta pula lebih baik, dengan hanya 475 daripada 1,276 katil (37 peratus) biasa dan 50 daripada 128 katil ICU (39 peratus) digunakan.

[Baca berita asal]