Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kuasa besar dan politik vaksin global

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Penularan Covid-19 yang pada akhir tahun 2019 telah memberikan kesan yang besar kepada tamadun manusia.

Kemelesetan ekonomi negara, keruntuhan sistem kesihatan dan diikuti dengan kebangkitan politik nasionalisme ekstrem (extreme nationalism) merupakan antara output negatif, kesan daripada merebaknya wabak ini.

Wabak ini juga menyebabkan persaingan Sino-Amerika menjadi semakin sengit. Paling agresif sejak runtuhnya Kesatuan Soviet dan berakhirnya era perang dingin pada awal dekad 1990an.

Perang perdagangan (trade war) antara dua buah negara ini sejak tahun 2018 adalah antara insiden awal yang kemudiannya mencetuskan persaingan kepentingan geopolitik, misalnya dalam isu Laut China Selatan.

Kemuncaknya, pada 13hb Julai 2020, Setiausaha Negara Amerika Syarikat ketika itu, Michael Pompeo mengeluarkan kenyataan rasmi sebagai amaran kepada tindak-tanduk agresif China di Laut China Selatan.

Jika naratif perang dingin berasaskan persaingan teknologi persenjataan, perang proksi dan pertentangan antara masyarakat liberal dan masyarakat totalitarian, pola persaingan kuasa-kuasa besar dunia kontemporari memperlihatkan persaingan dalam konteks penghasilan dan akses kepada vaksin Covid-19.

Dasar luar kuasa besar

Pentadbiran Presiden Joe Biden memperlihatkan keutamaan dasar luar Amerika Syarikat terarah kepada Indo-Pasifik berbanding pendahulunya yang menumpukan rantau Timur Tengah.

Di era kontemporari, pentas Indo-Pasifik didominasi oleh pesaing terbesar hegemoni Amerika Syarikat iaitu China.

Selama empat tahun bawah kepimpinan Presiden Donald Trump, kelibat Amerika Syarikat di pentas Indo-Pasifik hampir tidak kelihatan, kecuali kenyataan beramaran mengenai isu Laut China Selatan pada bulan Julai tahun 2020.

Presiden Trump ialah individu yang bertanggungjawab merencatkan hegemoni Amerika Syarikat di pentas Indo-Pasifik, tatkala beliau mengambil keputusan menarik Washington keluar daripada Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA) pada Januari 2017.

Ini memberikan ruang kepada China untuk memperluaskan pengaruhnya melalui gagasan the Belt and Road Initiative (BRI) iaitu projek pembangunan yang meliputi 70 buah negara.

Dakwaan taktik China yang berbentuk 'debt-trap diplomacy' ini diperkuatkan dengan jaringan pembiayaan pembangunan melalui the Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB).

Untuk rekod, AIIB merupakan bank pembangunan multilateral kedua terbesar selepas the World Bank dalam konteks keahlian negara.

Berbeza dengan komunisme ala Kesatuan Soviet, China mengadunkan falsafah politik komunisme dengan sistem ekonomi kapitalisme.

Setelah hampir tiga dekad tamatnya perang dingin, Amerika Syarikat kini berhadapan dengan lawan yang lebih sofistikated, licik dan bahaya.

Baru-baru ini, Amerika Syarikat melalui dukungan kumpulan negara-negara maju (G7) telah mengutarakan gagasan ‘Build Back Better World’ atau lebih dikenali sebagai ‘B3W’.

Gagasan ini bertujuan menjadi alternatif kepada BRI yang dipelopori oleh China.

Sidang kemuncak G7 disambut dengan kritikan daripada Beijing, ‘small groups do not rule the world’.

Berdasarkan pernyataan ini, dapat kita ramalkan bahawa dalam tahun-tahun mendatang, dunia akan menyaksikan persaingan kuasa-kuasa besar yang lebih sengit, diselang-selikan dengan kelicikan negara-negara ‘emerging powers’ dan negara-negara kuasa pertengahan (middle powers), melampaui apa yang pernah berlaku ketika era perang dingin.

Penularan Covid-19 turut mencetuskan perdebatan mengenai harta intelek (intellectual property) dalam penghasilan vaksin.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menyeru agar negara-negara G7 mengenepikan dahulu soal hak harta intelek dalam isu vaksin, demi membantu negara-negara sedang membangun dalam menghapuskan ancaman wabak.

Bagaimanapun, sidang kemuncak G7 di Cornwall, United Kingdom baru-baru ini langsung tidak membincangkan isu harta intelek vaksin, bahkan dalam communiqué pasca sidang, negara-negara G7 hanya berikrar menderma 1 bilion dos vaksin menjelang tahun hadapan, disamping memendekkan jangka masa produksi vaksin daripada 300 hari kepada 100 hari.

Berbanding dengan keputusan negara-negara G7 mengenai vaksin, China pula berikrar untuk menyokong langkah mengenepikan seketika soal hak cipta demi kesejahteraan global.

Ini bermaksud, formula vaksin buatan China seperti Sinovac dan Sinopharm boleh diproduksi kembali di negara-negara sedang membangun. 

Sehingga kini, vaksin buatan China sudah diterima 69 buah negara sedang membangun, di lima buah benua seluruh dunia.

Berbanding era perang dingin yang mana ‘military industrial complex’ merupakan struktur yang menyokong tata baru dunia, kini kita berhadapan dengan kemunculan industri farmaseutikal sebagai struktur yang mendasari persaingan kuasa-kuasa besar global.

Diplomasi vaksin dan orde baru dunia

Benua Eropah pada saat ini sedang berhadapan dengan isu kekurangan bekalan vaksin.

Natijahnya, negara-negara miskin di Eropah yang kecewa dengan birokrasi penyaluran bekalan vaksin oleh Kesatuan Eropah, mula beralih meminta bantuan daripada Russia dan China.

Negara-negara bekas Blok Timur seperti Hungary, Slovakia dan Republik Czech misalnya, memilih untuk mendapatkan vaksin Sputnik V (walaupun tidak diluluskan lagi oleh the European Medicines Agency) kerana lelah menunggu bekalan vaksin daripada Kesatuan Eropah.

Di antara negara-negara yang turut memulakan rundingan dengan Russia termasuklah Serbia-Montenegro dan Croatia.

Jika diteliti pola penyaluran bekalan vaksin di Eropah, kebanyakan negara-negara miskin di benua ini masih bergelut menanti bantuan.

Pada masa yang sama, negara-negara kaya seperti Jerman dan Perancis telah giat melaksanakan proses inokulasi di negara masing-masing.

Dalam pada itu, China dilihat membina naratif sebagai kuasa besar yang pemurah dan berperikemanusiaan dengan menyalurkan sumbangan bekalan vaksin, topeng muka, peralatan ujian dan PPE kepada negara-negara yang memerlukan.

Sebagai contoh, pada bulan Mac 2020, atas nama solidariti, Kedutaan China di Kuala Lumpur menyampaikan sumbangan bekalan peralatan dan perubatan untuk kegunaan rakyat Malaysia.

Gambar fail, sumbangan Kedutaan China di Malaysia.

Taktik yang sama turut digunakan atas negara lain seperti Indonesia. Negara Muslim teramai di dunia itu dipilih sebagai hub serantau penghasilan vaksin, yang akan dilaksanakan secara kerjasama antara Sinovac dan syarikat milik negara Indonesia iaitu Bio Farma.

Diplomasi vaksin China ini turut diperpanjangkan ke rantau Timur Tengah apabila negara Emiriah Arab Bersatu dipilih bagi tiga fasa percubaan klinikal vaksin Sinopharm.

Keberhasilan taktik ‘charm offensive’ oleh China ini menyebabkan negara-negara G7, khususnya Amerika Syarikat, tertinggal jauh dalam konteks membina imej sebagai negara yang mampu memimpin ketamadunan manusia tatkala berhadapan dengan krisis global.

Sebagai pemerhati dasar luar, saya berpendapat apa yang kini dipanggil sebagai diplomasi vaksin, adalah bibit-bibit awal persaingan dominasi global.

Bagaimanapun, persaingan utama bukan semata-mata bercorak ketenteraan, tetapi akan berbentuk persaingan konglomerat yang didukung oleh kerajaan dan menjalankan kegiatan politik bagi pihak negara.

Hal ini dapat dilihat dalam persaingan di antara gagasan BRI dan B3W.

Persaingan ini bukanlah semata-mata antara dua blok yang berbeza, tetapi turut diwarnai oleh penyertaan blok lain yang terdiri daripada negara-negara ‘emerging powers’ dan negara-negara ‘middle powers’.

Selepas tiga dekad tamatnya perang dingin, hegemoni Amerika Syarikat sudah mulai luntur dan terpaksa berdepan dengan saingan yang lebih licik dan stabil.

Natijahnya, dunia akan memasuki fasa multipolar sebagai struktur baru global, yang turut mencorakkan norma baru hubungan antarabangsa.


RIZAL HAMDAN merupakan pemerhati isu antarabangsa dan dasar luar, serta Pengarah Eksekutif NADI Centre, sebuah organisasi penelitian dasar awam.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.