Skip to main
Logo Malaysiakini

Lelaki ditahan disyaki ugut bunuh wanita sokong Ain

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis telah menahan seorang lelaki, selepas suspek disyaki mengeluarkan ugutan bunuh terhadap seorang wanita, yang menunjukkan sokongannya kepada pelajar Tingkatan 5, Ain Husniza Saiful Nizam.

Menurut bapa Ain, remaja yang baru-baru ini mendedahkan guru lelakinya didakwa membuat jenaka rogol di kelas, dipanggil oleh polis daerah Putrajaya semalam untuk membantu siasatan.

"Ini berkaitan ugutan bunuh oleh individu kepada salah seorang rakan Twitter yang menyokong Ain.

"Ia rentetan daripada isu Ain dan seterusnya rakan Twitter tersebut mendapat ugutan bunuh," kata Saiful Nizam Ab Wahab kepada Malaysiakini melalui pesanan teks pagi ini.

Difahamkan, suspek seorang lelaki berusia 20an yang berasal dari Kulim, Kedah.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan polis telah menangkap seorang suspek dalam kes ugutan bunuh itu, tetapi tidak mendedahkan maklumat lanjut.

Dia berkata suspek telah ditahan berikutan laporan yang dibuat oleh wanita itu di Putrajaya bulan lalu.

"Yang kita tahan itu suspek yang Tweet kepada pengadu kes report di Putrajaya yang terima ugutan bila ia ada Tweet info isu ini dan suspek itu bukan yang direct Tweet kepada Ain...

"Ain tu dipanggil hanya untuk ambil statement saja berkaitan isu kes ia yang disiasat di IPD Sungai Buluh...

"...ada pengadu lain di Putrajaya buat laporan polis bahwa dia terima ugutan oleh netizen (suspek) di Kulim bila ia beri info komen berkaitan isu sama.

"Jadi pengadu terasa diugut oleh suspek melalui komen di Tweet tersebut.

"Statement Ain perlu untuk lengkap siasatan dalam kes pengadu ini," katanya

Asmadi berkata polis sedang menyiasat kes tersebut bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan saluran komunikasi yang tidak wajar dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah).

Masih belum dapat dipastikan apakah suspek cuba untuk meneruskan ancamannya terhadap mangsa.

Malaysiakini telah menghantar soalan lanjut kepada Asmadi dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Saiful Annuar Yusoff untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes tersebut.

Ain telah menyiarkan video di TikTok pada bulan April, mendakwa seorang guru lelaki telah membuat jenaka mengenai rogol semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan, yang menimbulkan kemarahan di media sosial.

Ini termasuk memberitahu pelajar lelaki di kelas bahawa jika mereka hendak merogol, mereka perlu menyasarkan mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

Isu itu telah mengundang maklum balas banyak pihak di negara ini, termasuk gesaan tindakan dikenakan terhadap guru berkenaaan dan penambahbaikan sistem pendidikan.

Remaja itu juga kemudian menjadi mangsa ancaman rogol daripada rakan sekelasnya berikutan pendedahan dalam video Tik Tok itu.

[Baca laporan asal]