Skip to main
Logo Malaysiakini

Penganggur dan buruh ditahan semasa jual beli dadah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kegiatan jual beli dadah melibatkan dua sahabat yang merupakan seorang penganggur dan buruh dikejutkan dengan serbuan oleh pihak berkuasa di sebuah rumah di Kampung Kubang Gendang, Chetok, Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan kira-kira jam 5 petang, semalam.

Dalam operasi berkenaan, pihak polis berjaya merampas sejumlah 9.6 gram dadah jenis Heroin dan 150 biji pil kuda bernilai RM5,500 dirampas di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata kedua-dua suspek yang berusia 37 tahun itu dipercayai merupakan penjual dan pembeli barangan terlarang berkenaan. 

“Semasa serbuan, suspek berada di hadapan rumah tersebut dan kedua-dua suspek yang merupakan sahabat, cuba melarikan diri apabila melihat pihak polis.

“Ketika jalankan pemeriksaan, pihak polis telah menjumpai satu beg silang berzip berwarna hitam di atas tanah dan di dalamnya mengandungi dua botol plastik lutsinar berpenutup warna kuning dengan pita pelekat hitam, berisi serbuk keputihan disyaki dadah dan satu peket plastik lutsinar yang mempunyai 15 ruang di mana setiap satu ruang berisi 10 biji pil kemerahan disyaki dadah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek itu masing-masing mempunyai tujuh dan enam rekod lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

Jelasnya, kes itu disiasat dibawah Seksyen 39A(2), 39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan hasil siasatan menyatakan, salah seorang suspek telah mengaku bahawa dadah yang dijumpai adalah miliknya.

“Menerusi hasil ujian saringan air kencing, mendapati kedua-duanya positif dadah jenis Methamphetamine.

“Salah seorang suspek yang juga merupakan seorang penganggur mengaku dadah yang dijumpai adalah miliknya dan usaha mengesan pembekal dadah masih diteruskan,” jelasnya.