Skip to main
Logo Malaysiakini

Gajah nama Tenang dipercayai mengamuk, pekerja Thai maut

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang pekerja warga Thailand maut selepas diserang seekor gajah ketika melakukan tugasannya di Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV) di Tasik Kenyir, di Kuala Berang hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Daud berkata Anucha Tangsakun, 38, ditemukan oleh rakan sekerjanya pada kira-kira 7.45 pagi tadi dengan kesan terbelah di bahagian perut dan luka di paha kirinya.

Beliau berkata ketika kejadian mangsa dikatakan sedang melakukan rutin harian dengan memberi makanan dan melakukan pembersihan kepada seekor gajah yang bernama Tenang sebelum haiwan itu dipercayai mengamuk dan menyerang mangsa.

“Semasa kejadian mangsa dipercayai ingin melepaskan ikatan pada kaki gajah itu untuk membawanya mandi di sungai. Gajah berusia 22 tahun itu bagaimanapun dikatakan terus menyerang mangsa dengan menusuk gadingnya ke bahagian perut dan paha kiri mangsa.

“Sejurus tiba, didapati mangsa dalam keadaan terbaring dan tidak bernyawa di kawasan lapang tempat gajah diikat. Terdapat kesan terbelah di perut mangsa dan luka di bahagian pahanya manakala gajah tersebut telah dipindahkan ke kawasan lain oleh para pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Adli berkata pihaknya dimaklumkan emosi Tenang dikatakan kurang stabil ekoran sering diganggu dan dicederakan oleh gajah-gajah liar yang memasuki kawasan santuari sejak dua minggu lepas.

Beliau menambah kawasan lindungan seluas 256 hektar itu mempunyai 33 orang pekerja dan menempatkan 18 ekor gajah.

- Bernama