Skip to main
Logo Malaysiakini

AEFI vaksin Covid-19 Malaysia masih di paras purata global

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 meneliti setiap laporan berkaitan kesan susulan imunisasi (AEFI), kata penasihat khas perdana menteri mengenai kesihatan awam Dr Jemilah Mahmood.

Katanya setiap AEFI dibincangkan dengan teliti oleh pasukan petugas terbabit dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dalam mesyuarat mingguan yang diadakan.

"Kami tidak menyembunyikan kebenaran; jika ada perkara yang perlu orang ramai tahu kita akan maklumkan. Buat masa ini apa yang dapat saya katakan ialah kami bermesyuarat setiap minggu, dan setiap AEFI kami teliti.

"Kami perlu memastikan setiap kesan buruk dipantau, dan sekiranya berlaku kematian selepas menerima vaksin, dalam jangka waktu tertentu, bedah siasat akan dilakukan untuk menentukan punca sebenar.

"Punca setiap kematian sangat menyedihkan, tetapi kita tidak boleh mengaitkannya dengan vaksin semata-mata," katanya pada sidang akhbar dalam talian selepas pelancaran Virus Hunter Campaign secara maya hari ini.

Kempen itu dilancarkan bersama dengan Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Brian D McFeeters.

Dr Jemilah berkata AEFI Malaysia juga mengikut penanda aras global.

"Apa yang dapat saya sampaikan kepada anda ialah jumlah di negara ini tidak tinggi berbanding negara lain dan jumlahnya berada dalam paras purata global," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Dr Jemilah berkata penting untuk memastikan keselamatan anak-anak daripada jangkitan dengan menyediakan persekitaran yang selamat apabila sekolah dibuka semula.

"Jika mereka tidak boleh menerima vaksin, kita harus memastikan mereka berada di persekitaran yang selamat untuk mengelak dijangkiti virus,” katanya sambil menambah sekolah juga harus memastikan bilik darjah mempunyai sistem pengudaraan yang baik sebagai langkah mencegah jangkitan.

Menurut Dr Jemilah lagi, kerajaan diharapkan dapat menyediakan garis panduan kepada masyarakat mengenai cara pengudaraan di ruang kerja mereka.

Virus Hunter Campaign ditaja Kedutaan AS di Kuala Lumpur dengan kerjasama Kluster Sains Pulau Pinang untuk mendidik belia Malaysia mengenai perjuangan global melawan penularan penyakit dan sains di sebalik vaksin.

Ia adalah pameran maya bagi membantu belia lebih memahami bagaimana penyakit merebak dan perjuangan global dalam memerangi penyakit berjangkit.

- Bernama