Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Lepas kecualikan duti hiburan, harap kurangkan kadarnya lepas ini’

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Taman Buaya dan Rekreasi Melaka berterima kasih kepada kerajaan negeri atas pengecualian duti hiburan kepada taman-taman di negeri itu.

Pengurus besarnya Ahmad Syarifuddin Mohamad berkata pengecualian duti hiburan sepanjang tahun ini menunjukkan bahawa kerajaan mendengar rintihan mereka yang terbeban dengan duti yang agak tinggi iaitu 12.5 peratus.

“Pengecualian duti hiburan ini akan memberi impak yang signifikan terhadap kos yang perlu ditanggung oleh penggiat industri di Melaka dan sedikit sebanyak telah dapat mengurangkan beban kami dalam mendepani detik-detik genting masa kini.

“Selain itu, bantuan lain seperti penangguhan pembayaran cukai tanah juga banyak membantu entiti pelancongan seperti kami bagi mengurangkan tanggungan kos dalam tempoh tiada sumber pendapatan yang boleh diperolehi,” jelasnya.

Ahmad Syarifuddin Mohamad 

Ahmad Syarifuddin mendedahkan pengecualian itu dimohon mereka bersama ahli-ahli Persatuan Pelancongan Melaka (MTA) sejak beberapa tahun lalu.

Syarifuddin juga berharap kadarnya dapat dikurangkan selepas tempoh pengecualian memandangkan kadar 12.5 peratus antara yang tertinggi di Malaysia.

Menurutnya, ia dapat membantu sektor pelancongan Melaka bangkit semula daripada kejatuhan sewaktu pandemik.

Terdahulu, pengecualian duti hiburan kepada semua taman tema di negeri Melaka bagi tahun ini diumumkan oleh Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali menerusi perutusan khas pakej rangsangan ekonomi negeri pada 18 Jun.

Sulaiman Md Ali 

Katanya, pengecualian itu diberikan bagi meringankan beban industri pelancongan yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kerajaan negeri mengecualikan duti hiburan untuk tiga taman tema air iaitu A’ Famosa Water Theme Park, Bayou Lagoon Resort dan Melaka Wonderland Water Theme Park, serta program hiburan keluarga bermusim.

Turut menerima faedah itu ialah Taman Mini Malaysia, muzium-muzium, zoo Melaka, Taman Rama-Rama dan A’Famosa Night Safari.