Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua lokaliti di Sabah, satu di Kelantan dikenakan PKPD

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Pulau Tukang Dollah di Kota Bharu, Kelantan serta dua lokaliti di Sabah iaitu Kampung Tambulion Ulu di Kota Belud dan Kampung Kukut di Beaufort bermula Jumaat ini hingga 8 Julai.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati kes meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di kesemua lokaliti itu.

Dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD hari ini, beliau berkata PKPD dilaksanakan untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut yang merekodkan jumlah kes COVID-19 yang tinggi hasil daripada ujian saringan yang dilakukan.

Ismail Sabri berkata PKPD di Kampung Likas di Kota Kinabalu, Sabah yang dijadualkan tamat hari ini dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 7 Julai dan melibatkan Zon 1 sahaja berikutan masih terdapat penularan dalam komuniti serta terdapat kes baharu di lokaliti itu.

Selain itu, beliau memaklumkan PKPD di Lima Sub-zon di Labuan yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan sehingga 28 Jun ini.

Sementara itu, beberapa lokaliti PKPD iaitu Felda Jengka 7 di Maran, Pahang, masing-masing di Kelantan iaitu Kampung Kutan Tengah dan Kampung Ketil, Felda Inas (Johor), Kampung Sinar Budi Baru (Sarawak) serta Perumahan Kilang, Ladang Ong Yah Ho (Sabah) tamat esok seperti dijadualkan.

Ismail Sabri berkata PKPD di Sabah iaitu Kampung Batu Layar dan Taman Wawasan tamat hari ini seperti yang dijadualkan manakala Lorong Pasir Putih, Taman Pasir Putih Fasa 1 pula tamat Jumaat ini seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP, beliau berkata seramai 754 individu ditahan atas pelbagai kesalahan semalam dan daripada jumlah itu, 701 dikompaun manakala 53 direman.

Beliau berkata antara kesalahan yang dikesan ialah gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis, merentas negeri atau daerah tanpa kebenaran, tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan fizikal serta membawa penumpang berlebihan.

Seramai 44 pendatang tanpa izin ditahan manakala sembilan kenderaan darat serta dua buah bot/kapal dirampas menerusi Op Benteng semalam, katanya.

Bernama