Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah Persekutuan arah saman pada Khalid dibicarakan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan kes saman RM13.5 bilion yang difailkan Puncak Niaga Holdings Bhd (Puncak Niaga) terhadap Abdul Khalid Ibrahim dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Saman itu berhubung isu penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor.

Hakim Vernon Ong Lam Kiat membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Abdul Khalid untuk mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Pada 11 Feb lalu Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Puncak Niaga untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi mengetepikan tuntutan samannya terhadap Abdul Khalid dan memasukkan semula bekas Menteri Besar Selangor itu sebagai sebagai defendan.

Mahkamah turut memerintahkan agar saman itu dibicarakan.

Ong yang mendengar permohonan itu melalui prosiding secara dalam talian berkata beliau mengambil maklum bahawa ia adalah permohonan interlokutori yang melibatkan keputusan Mahkamah Rayuan agar perbicaraan penuh diadakan, membatalkan keputusan mahkamah tinggi untuk mengetepikan saman berkenaan.

"Isu sama ada permohonan itu berdepan limitasi masa belum diputuskan oleh mahkamah tinggi atau Mahkamah Rayuan. Saya menerima hujah bahawa isu kebenaran sebagai isu kepentingan awam.

“Bagaimanapun, memandangkan mahkamah tinggi dan Mahkamah Rayuan tidak membuat keputusan, saya berpendapat syarat Seksyen 96 (dalam memberikan kebenaran) tidak dipenuhi.

"Isu mendapatkan kebenaran yang dipohon adalah bercampur aduk dengan fakta dan undang-undang derta perlu dirungkaikan dengan sempurna dalam prosiding perbicaraan.

"Oleh demikian saya menolak permohonan ini,” kata hakim dan memerintahkan Abdul Khalid membayar kos sebanyak RM30,000 kepada Puncak Niaga.

Ong membuat keputusan itu setelah mendengar hujah peguam Gopal Sreenevasan yang mewakili Puncak Niaga manakala Edmund Bon Tai Soon mewakili Abdul Khalid.

Asalnya Puncak Niaga mengemukakan saman terhadap Abdul Khalid, kerajaan Selangor dan Azmin Ali sebagai defendan.

Pada 22 Feb 2018 Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan tiga defendan itu untuk membatalkan saman tersebut yang menyebabkan Puncak Niaga mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Pada 11 Feb tahun ini Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Puncak Niaga bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mengetepikan tuntutannya terhadap Abdul Khalid dan kerajaan Selangor.

Namun, mahkamah menolak rayuan Puncak Niaga berhubung keputusan mahkamah tinggi membatalkan tuntutannya terhadap Azmin.

Dalam saman yang difailkan pada 2017 itu, Puncak Niaga mendakwa Abdul Khalid dan Azmin menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengugut sehingga menyebabkan kerajaan Persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 bagi memaksa pengambilalihan industri perkhidmatan air di Selangor.

Sehubungan itu syarikat berkenaan menuntut ganti rugi, faedah ke atas ganti rugi dan kos akibat kehilangan peluang perniagaan di dalam dan luar negara, berjumlah RM13.5 bilion.

- Bernama