Penganalisis: Tindakan Nazri aneh, akan bawa kesan pada PN dan Umno
Pengakuan bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Nazri Abdul Aziz bahawa dia mengumpul akuan bersumpah (SD) dalam kalangan ahli parlimen BN mungkin merupakan gerakan untuk mengangkat Hishammuddin Hussein sebagai timbalan perdana menteri, kata penganalisis politik.
Pun begitu Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya menganggap pendirian terkini Nazri - yang dilihat kini lebih kendur terhadap Muhyiddin Yassin - bertentangan dengan pendiriannya sebelum ini yang keras menyerang presiden Bersatu itu.
“Ini merupakan satu keanehan juga.
“[...] Kali ini dia pula menjadi ketua bagi mengumpul SD tersebut. Adakah ini bermakna ada muslihat lain dalam politik yang dilakukan puak-puak tertentu (di dalam Umno)?
“Maknanya terdapat usaha untuk memastikan Muhyiddin terus menjadi perdana menteri. Pada masa sama, usaha itu ada timbal balas politiknya.
“Kemungkinan, barangkali akibat gerakan tersebut Muhyiddin (akan) terhutang budi dan akhirnya melantik Hishammuddin sebagai timbalan perdana menteri,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Awang Azman mengulas kenyataan Nazri pagi semalam yang mengaku bertanggungjawab mengumpul 25 SD dalam kalangan ahli parlimen BN bagi memberikan mandat kepada Hishammuddin ketika pemimpin-pemimpin parti dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dua minggu lalu.
Bawa rasa tak puas hati
Kata Nazri, tindakan itu dibuat kerana dia “tidak lagi percaya” kepada Ahmad Zahid Hamidi setelah presiden Umno itu didakwa menyatakan sokongan kepada PresidenPKR Anwar Ibrahim untuk dilantik menjadi perdana menteri dalam pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong pada Okt tahun lalu.
"Saya percaya Hishammuddin untuk mengatakan yang sebenarnya bahawa kita tidak menyokong Anwar atau DAP," kata Nazri.
Bagaimanapun bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak mendedahkan berapa ramai anggota kabinet yang turut menandatangani SD berkenaan.
Kata Nazri, meskipun bertindak demikian pendiriannya terhadap Bersatu masih tidak berubah, cuma saja perhimpunan agung Umno pada Mac lalu memang sepakat memutuskan hubungan dengan Bersatu dan ia hanya akan berlaku menjelangnya pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Kata Awang Azman jika benar dakwaan Nazri itu pasti akan timbul rasa tidak puas hati dan seterusnya berlaku perpecahan bukan saja dalam Perikatan Nasional malah Umno sendiri.
Tambahnya jika dalam Bersatu ada personaliti seperti Hamzah Zainudin dan Azmin Ali yang dijuluk sebagai dalang Langkah Sheraton dan berjasa besar melahirkan PN, dalam Umno pula katanya ada timbalan presiden Mohamad Hasan dan naib presiden Ismail Sabri Yaakob.
“Masing-masing ingin naikkan hierarki politik ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Hal itu, menurut Awang Azman, mungkin membawa kepada adegan 'tarik tali' yang baru dan membuka babak sokongan SD yang lain pula, terutamanya dalam kalangan ahli parlimen BN berbanding ahli parlimen Bersatu yang dilihat setia di belakang Muhyiddin.
Kenyataan Nazri itu hadir selepas Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan pada 21 Jun yang memberikan tempoh 14 hari kepada PN untuk membuka semula parlimen.
Kegagalan berbuat demikian, kata Ahmad Zahid, akan mendorong Umno memanggil mesyuarat khas MT bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya.
Nazri juga dilaporkan menganggap kenyataan Ahmad Zahid itu sebagai suatu hal tidak boleh berlaku memandangkan notis kepada ahli parlimen pun perlu diberikan sekurang-kurangnya 28 hari sebelum parlimen bersidang.
Awang Azman berkata, sikap berani bersuara ditunjukkan ahli Umno terhadap Ahmad Zahid mungkin disebabkan ahli parlimen Bagan Datuk itu kini menjadi presiden Umno pertama tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kabinet.
“Kalaulah Ahmad Zahid ada jawatan, tak perlu perdana menteri (jawatan yang lazim disandang presiden Umno sebelum kekalahan PRU-14), timbalan perdana menteri saja, barangkali benda itu tidak selancang yang dia (Zahid) terima (sekarang ini),” katanya.
Tak masuk akal, tak penting
Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Jamaie Hamil, pula melihat kenyataan menyerang Ahmad Zahid daripada orang bawahan parti - seperti Nazri - merupakan isyarat jelas bahawa bekas timbalan perdana menteri itu sudah tidak relevan untuk mengepalai parti.
“Dalam kepemimpinan Umno, mereka sebenarnya sudah tak melihat Ahmad Zahid itu sebagai tokoh yang relevan sebagai presiden lagi.
"Mereka nak gantikan Ahmad Zahid dengan orang lain, tetapi disebabkan (pemilihan) ditangguh-tangguh, akhirnya Ahmad Zahid kekal lagi di situ.
“Sebagai orang yang sudah tak relevan, apa pun kenyataan yang dibuatnya akan dilihat orang bawahan sebagai sesuatu yang melucukan, yang tak masuk akal, tak penting,” katanya.
Kata dua Ahmad Zahid kepada PN itu ditafsir banyak pihak sebagai isyarat bahawa Umno akan keluar dari kerajaan sekiranya gesaan mereka tidak dilayan selepas tempoh berkenaan.
Kelmarin, Mohamad berkata isu pembukaan parlimen akan dibawa ke MT Umno untuk diputuskan. Pada hari sama Ismail Sabri memberitahu tempoh 14 hari itu hanyalah pandangan Biro Politik Umno, sedangkan keputusan terletak di tangan MT.
Apa kemungkinan yang akan berlaku selepas 14 hari itu sekiranya ia tidak diendahkan PN, kata Ismail Sabri, tidak pun dibincangkan lagi.
Kata Jamaie lagi, Umno harus harus berhati-hati tentang janjinya untuk menarik sokongan daripada PN kerana ia sudah banyak kali dilontarkan namun tidak pernah dilunaskan sehingga mengundang rasa muak dalam kalangan masyarakat.
“Jangan sampai rakyat akan menghukum Umno untuk kali yang seterusnya,” katanya.
Berkongsi pandangan dengan Azman Awang, Jamaie berkata, Ahmad Zahid kini berdepan kritikan orang Umno kerana parti itu sendiri sudah tidak sekuat dahulu.
“Berbeza ketika Umno kuat dulu, tak ada pemimpin bawah nak kritik atau sinis (terhadap presiden).
"Mana-mana pemimpin yang keluarkan kenyataan songsang dengan pemimpin atasan, orang itu akan dipecat, disingkir dan sebagainya.
“Sekarang ini Umno tak ada kuasa, jadi mereka berani mengkritik pemimpin dan memperlekehkan.
“Lebih-lebih lagi pemimpin bawah ini dah melihat Ahmad Zahid itu sebenarnya sudah tak diperlukan lagi. Dan mereka (seolah-olah) sudah boleh ucapkan selamat tinggal kepada Ahmad Zahid,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai