Kantoi bawa 28 ekor lembu seludup
Tindakan lelaki berumur 21 tahun memandu lori berisi muatan 28 ekor lembu dipercayai diseludup bernilai RM282,240 membawa padah apabila ditahan Pasukan Batalion 7 Gerakan Am (PGA7) yang sedang melakukan rondaan jam 2 pagi di Jalan Perumahan Prima Lubok Jong, Pasir Mas, Kelantan, hari ini.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, tangkapan itu dilakukan ketika rondaan dibuat dan pihaknya terserempak dengan lori berkenaan yang ketika itu dalam keadaan mencurigakan.
Azhari berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, pemandu lori gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah berkaitan haiwan ternakan yang dibawa dipercayai diseludup secara haram dari negara jiran, Thailand.
“Hasil pemeriksaan lanjut di bahagian belakang lori tersebut, polis telah menjumpai 28 ekor lembu dan pemandu lori gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang lengkap.
“Justeru, polis menangkap pemandu terbabit serta merampas kesemua 28 ekor lembu dan juga lori berkenaan,” katanya pada satu kenyataan media, hari ini.
Azhari (gambar, atas) berkata, kes disiasat bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan kes itu turut diserahkan kepada Jabatan Veterinar Kelantan.
“Melalui tangkapan terbabit, pihak polis turut merampas sebuah lori jenis Isuzu, RM120,000 dan jumlah rampasan termasuk lori, adalah sebanyak RM 402,240.
“Tahanan dan kesemua rampasan dibawa ke Balai Polis Pasir Mas, Kelantan untuk tujuan laporan dan bagi tindakan lanjut,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai