Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemuda PAS mohon kedai makan beroperasi hingga 10 malam

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemuda PAS memohon kerajaan membenarkan operasi kedai makan dilanjutkan sehingga jam 10 malam khususnya bagi perkhidmatan pesanan e-hailing.

Timbalan ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata ia susulan penurunan kes jangkitan Covid-19 harian serta peningkatan kadar sembuh sejak kebelakangan ini.

"Dalam tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, rakyat mengalami kesukaran untuk membeli makanan kerana masa operasi bermula jam 8 pagi hingga 8 malam itu amat menyukarkan rakyat, khususnya yang bekerja ketika tempoh ini untuk membeli sarapan dan makan malam.

"Perniagaan kedai makan dan penjaja kecil berkaitan makanan juga terjejas akibat pelaksanaan had waktu ini.

"Justeru, Pemuda PAS percaya sudah sampai masanya kedai makan dibenarkan beroperasi untuk pesanan e-hailing dari 6 pagi hingga 10 malam," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota Parlimen Pasir Mas itu berkata, lanjutan tempoh operasi itu sekali gus dapat membantu menyelesaikan isu kekurangan pendapatan pengusaha kedai makan dan penjaja serta masalah kesukaran membeli makanan.

Katanya, had operasi kedai makan yang sangat singkat itu juga menyebabkan ketakutan dan kerisauan rakyat, lebih-lebih lagi mereka melihat seolah kerajaan tidak ada jalan penyelesaian untuk mengeluarkan negara dari pandemik Covid-19.

"Penambahan masa operasi kedai makan dapat mengendurkan kerisauan mereka (rakyat) serta mengurangkan tekanan dalam masyarakat apabila mereka dapat menikmati sedikit kehidupan seperti biasa sebelum adanya pandemik," kata Ahmad Fadhli.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.