Skip to main
Logo Malaysiakini

PSM cadang moratorium kekal perlombongan, pembalakan di hutan Malaysia

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mencadangkan kerajaan pusat dan negeri mengenakan moratorium kekal ke atas semua kegiatan perlombongan dan pembalakan hutan di Malaysia.

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM Sharan Raj berkata, kegiatan sedemikian hanya memusnahkan hutan hujan tropika di negara ini.

"PSM menggesa kerajaan negeri dan persekutuan untuk mengenakan moratorium kekal terhadap perlombongan dan pembalakan di dalam hutan.

"Malah, PSM menyeru pada Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan ekonomi kitaran (circular ekonomi) untuk mendapatkan bahan mentah daripada sisa buangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sharan berkata sebagai sebuah negara di Nusantara yang dikurniakan hutan hujan tropika dan kepelbagaian biologi, Malaysia memainkan peranan besar dalam membendung krisis iklim berbanding hutan lain di dunia.

Justeru katanya, rakyat tidak seharusnya termakan dengan janji manis ahli politik dan kapitalis yang mengatakan aktiviti pembalakan dan perlombongan akan memperkaya negara kita.

Sharan Raj

“Perlombongan dan pembalakan memberikan keuntungan lumayan kepada kapitalis tetapi mendatangkan pencemaran air, udara dan tanah kepada Orang Asli, petani dan rakyat Malaysia.

“Dengan kekayaan ini, kapitalis dan ahli politik berhaluan kanan boleh berhijrah keluar dari Malaysia tetapi masyarakat marhaen terpaksa hidup dengan sisa pencemaran dan penyakit di Malaysia,” katanya.

Sharan, yang juga penyelaras nasional biro alam sekitar dan krisis iklim (Baski) PSM, turut mengecam syarikat pembalakan dan perlombong kerana didakwa menggunakan hubungan dengan kerabat diraja bagi mendapatkan kelulusan kerajaan negeri.

“PSM amat kesal dengan tindakan kapitalis yang menjadikan pihak kerabat diraja sebagai rakan kongsi perniagaan untuk mendapatkan kelulusan kerajaan negeri serta mengurangkan tekanan daripada masyarakat marhaen,” katanya lagi.

Sejak awal bulan ini, Malaysiakini melaporkan tentang beberapa projek perlombongan di Pahang yang mempunyai kaitan dengan kerabat diraja.

Salah satunya perlombongan di sekitar Tasik Chini di Pekan, yang menempatkan tasik semulajadi kedua terbesar di negara ini.

Syarikat yang sama turut dilaporkan merancang satu lagi projek, turut mempunyai kaitan dengan kerabat diraja Pahang, di Ulu Tembeling, Jerantut.