Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahathir balas surat peminat cilik

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tidak dapat bersua muka menunaikan hasrat peminat cilik untuk bertemu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menitipkan surat buat pengubat hati adik Safiya Zahra Mohammad Ahmad, 8.

Terdahulu, Safiya yang mula-mula menulis surat buat ‘Tok Mahathir’, berceloteh tentang pengalamannya melawat ladang kerbau Mahathir. Dalam surat yang ditulis dalam bahasa Inggeris itu, Safiya turut meluahkan hasrat untuk bertemu dengan Mahathir.

“Assalamualaikum Tok Mahathir. Saya Safiya Zahra Mohammad Ahmad. Saya tinggal di Padang Gaong, Ulu Melaka, Langkawi.

“Saya suka ladang Tok. Ia cantik sangat. Saya dah pergi ladang kerbau tok. Susu kerbaunya sedap sangat. Saya nak pergi lagi ke sana. Saya tanya pemilik (ladang) kalau saya dapat berjumpa Tok di ladang kerbau Tok kalau Tok lapang.

“Saya berterima kasih kepada Tok atas keindahan Langkawi. Terima kasih,” coret Safiya dalam surat yang berjaya mencuit hati warga maya itu.

 

Surat itu dimuat naik oleh ayahnya, Mohammad Ahmad di Twitter, bersama dengan gambar Safiya yang memegang surat yang bertulisan tangan itu, lengkap dengan tarikh (23 Jun) dan harinya (Rabu).

Surat itu ditulis di dalam buku yang kelihatan seperti buku latihan yang bergaris.

Kata Mohammad, surat itu ditulis Safiya setelah mendapat tahu Mahathir kini berada di Langkawi.

Malangnya, Mahathir tidak dapat berjumpa dengan adik Safiya kerana sekatan pergerakan yang sedang dilaksanakan kini.

Namun, setidak-tidaknya ahli Parlimen Langkawi itu tidak lupa membalas surat Safiya dan turut memuat naiknya di Twitter.

“Waalaikumussalam Safiya Zahra.

“Saya minta maaf. Saya tak dapat bertemu Safiya di ladang kerbau, disebabkan sekatan pergerakan. Datanglah lagi melawat dan menikmati ladang kerbau. Cuba dagingnya.

“Saya harapkan yang terbaik untuk Safiya. Jaga diri,” coret Mahathir, juga dalam surat bertulisan tangan.

 

Menurut Mohammad, surat daripada Mahathir itu benar-benar membuatkan Safiya teruja dan gembira, dan mengucapkan terima kasih buat Mahathir atas kesudian membalas surat anak pererempuannya itu.

“Anak saya sangat teruja dan sangat gembira menerima surat daripada Tun (Mahathir). Dia menjadikan kerja keras Tun sebagai teladan, dan dia mahu jadi seperti Tun,” kata Mohammad lagi.