Skip to main
Logo Malaysiakini

Sidang DUN: T'ganu tunggu maklum balas MKN dan KKM, kata MB

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Terengganu masih menunggu maklum balas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai kaedah pelaksanaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam situasi semasa penularan pandemik Covid-19.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata beliau akan berbincang dengan Yang Dipertua DUN Terengganu Yahaya Ali sebaik menerima maklum balas daripada MKN dan KKM itu bagi membolehkan persidangan DUN diadakan secepat mungkin.

“Jadi, apabila kita sudah dapat kepastian (daripada MKN dan KKM) barulah kita akan bincang untuk mencari tarikh yang sesuai (untuk mengadakan persidangan DUN),” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, di Kuala Berang hari ini.

Ditanya mengenai kemungkinan persidangan kali ini diadakan secara hibrid, Ahmad Samsuri berkata ketetapan mengenai perkara itu juga perlu dibuat berdasarkan panduan MKN dan KKM.

“Kalau boleh kita hendak secara bersemuka tetapi kita tengok panduan MKN dan KKM bagaimana cara pelaksanaan itu (persidangan DUN),” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 16 Jun lepas menzahirkan pandangan bahawa Parlimen perlu bersidang secepat mungkin untuk membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Kali terakhir sidang DUN diadakan di Terengganu adalah pada November tahun lepas membabitkan pembentangan Bajet 2021 oleh Ahmad Samsuri.

- Bernama