Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis kesan lelaki disyaki amang seksual terhadap dua kanak-kanak

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak di sebuah pangsapuri di Seksyen 19, Petaling Jaya Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata suspek dikenal pasti berusia 26 tahun, berketinggian 168 sentimeter, berambut pendek, berbadan kurus dan berkulit hitam.

Polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berumur 40 tahun mendakwa dimaklumkan tentang perbuatan suspek oleh dua anak lelakinya yang berusia lapan dan sembilan tahun.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang menaiki tangga untuk menjual kuih di kawasan kediaman mereka, sebelum tiba-tiba mereka didatangi suspek yang menarik tangan mangsa dan melakukan kelucahan melampau terhadap kedua-dua mangsa.

“Berikutan itu, kedua-dua mangsa yang ketakutan berlari pulang ke rumah sambil menangis. Kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang awam khususnya di Petaling Jaya yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau mengenali lelaki terbabit agar tampil di balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Insp M. Naresh Kumar di talian 016-9757113, katanya.

- Bernama