Skip to main
Logo Malaysiakini

Vaksinasi besar-besaran di Langkawi untuk wujudkan 'gelembung hijau' pelancongan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan memulakan vaksinasi besar-besaran di Langkawi sebagai sebahagian rencana untuk menjadikan pulau di Kedah itu sebagai 'gelembung hijau' pelancongan, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri yang bertanggungjawab untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pcik) itu mengatakan bahawa kerajaan ingin menjadikan Langkawi tempat yang boleh dikunjungi pelancong sekali gus membantu industri pelancongan di sana untuk bertahan.

"Kita ingin membuka Langkawi sebagai gelembung hijau bagi pelancong seperti apa yang sedang dilakukan di Bali dan beberapa tempat lain.

"Pelancong boleh terbang ke Langkawi secara langsung tanpa melalui jalan darat dan kemudian kembali. Kita berusaha membuka poket gelembung hijau untuk pelancongan," kata Khairy.

Menteri sains, teknologi dan inovasi itu berkata demikian pada webinar awal hari ini di mana dia melancarkan mesyuarat agung tahunan ke-45 Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Malaysia.

Malaysia kini berada dalam sekatan penuh Covid-19 yang dikenakan mulai 1 Jun.

Industri pelancongan terjejas teruk, malah sebelum sekatan penuh lagi kerana Putrajaya mengenakan larangan rentas negeri sejak tahun lalu.

Mengenai vaksinasi, Khairy mengatakan bahawa dia mengharapkan Malaysia dapat membuka pasaran vaksin swasta pada bulan Ogos.

Menurutnya, perolehan swasta untuk vaksin Covid-19 tidak tersedia sebelum ini kerana kekurangan bekalan.

"[...] Saya menjangkakan pada sekitar bulan Ogos, kita akan memiliki pasaran vaksin swasta. Sekarang, sukar bagi sektor swasta kerana kekurangan vaksin.

"Tetapi pada bulan Ogos, saya berpendapat akan ada beberapa syarikat yang akan diluluskan untuk membawa beberapa vaksin dari China seperti Sinopharm dan vaksin lain yang akan didaftarkan di sini," katanya, sambil menambah ia diharapkan dapat membantu mempercepat kadar vaksinasi negara.

Sebuah syarikat berkaitan kerajaan juga sedang berbincang dengan China untuk mendapatkan vaksin untuk pasaran swasta, tambahnya.

Semasa berucap di majlis itu, Khairy memberi penerangan kepada peserta mengenai kemas kini terbaru Pick, termasuk memaklumkan bahawa Malaysia setakat ini telah menerima sejumlah 8.59 juta dos vaksin pada 21 Jun.

Dia juga menyatakan kekecewaannya dengan kemudahan Covax yang menurutnya telah gagal memberikan bekalan vaksin yang mencukupi.

"Covax mengecewakan. Sekiranya kita hanya bergantung pada Covax, kita hanya akan menerima 828,000 dos setakat ini," kata Khairy.