Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Andai Umno sebuah filem di Netflix

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Apa saja yang boleh berlaku dalam masa 14 hari?

Tempoh 14 hari, atau dua minggu, atau setengah bulan - itu tempoh kata dua yang diberikan Biro Politik Umno kepada Perikatan Nasional (PN) untuk kerajaan membuka semula parlimen.

Kali terakhir parlimen bersidang ialah genap enam bulan lalu, atau 17 Dis 2020. 

Kata dua itu diutarakan sendiri Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, pada 21 Jun dalam satu kenyataan yang dikeluarkan parti dan turut dimuat naik di Facebooknya.

Jika dihitung, tempoh 14 hari dari tarikh itu ialah 5 Julai - jatuh pada hari Isnin pertama bulan depan.

Kalau di Netflix, dua minggu itu lebih daripada cukup untuk menghabiskan beberapa puluh filem dan satu atau dua drama bersiri - bergantung kepada setekun mana anda berjegil mata menonton.

Ringkasnya, Ahmad Zahid mendesak agar PN membuka semula parlimen dalam masa 14 hari. Jika tidak, PN “dianggap” menderhaka dan tidak menghormati raja-raja.

Oh, dalam kenyataan sama Ahmad Zahid juga memberitahu, Umno akan mengadakan satu mesyuarat khas majlis tertinggi (MT) bagi memuktamadkan tindakan lanjut berhubung perkara itu.

Itu sahaja.

Maka sibuklah orang bertanya: apa akan terjadi selepas 14 hari itu kalau PN memang buat tidak tahu, atau tidak mengendahkan kata dua Umno?

Hanya mahu dua kemungkinan

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata gesaan pembukaan semula parlimen itu akan dibawa ke MT; Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob pula tidak kelihatan 'berahi' dengan kejantanan cuba ditunjukkan Umno di bawah Ahmad Zahid.

Kata Ismail Sabri ketetapan itu hanya pandangan Biro Politik Umno, tetapi dasar parti tetap diputuskan oleh MT.

Jadi, jadi apa kalau Umno nanti tidak dilayan PN selepas genap tempoh 14 hari yang diberikan? Kalau ditafsirkan daripada kata-kata pemimpin Umno, takkan jadi apa-apa.

Ya, mungkin akan nampak aneh. Kalau sudah begitu ceritanya, kenapa Ahmad Zahid beria-ia memberikan kenyataan berbunyi kata dua sebegitu?

Orang memberikan kata dua apabila mahukan hanya dua kemungkinan pengakhiran: jika tidak A, maka B. Bukannya jika tidak A, maka tak apalah, tiada apa-apa berlaku.

Antiklimaks? Ya.

Kalau menonton filem atau drama di Netflix, paling meluat ialah jika kita berdepan cerita yang antiklimaks. Permulaannya sudah bagus dan tampak menjanjikan, aksi dijamin memancutkan adrenalin, runut bunyi mantap, tapi penghujungnya terkulai lesu.

Akan tetapi, perkara antiklimaks bukan asing untuk Umno di bawah kepemimpinan Ahmad Zahid. Ingat lagi Perhimpunan Agong Umno pada hujung Mac lalu?

Di sebelah paginya, dalam ucapan dasar Ahmad Zahid berkata Umno akan bergerak sendirian dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang. No Bersatu, no Anwar, no DAP. Itu dilafazkannya di tengah spekulasi kencang bahawa wujud pakatan di antara dia dengan Anwar Ibrahim.

Kata-kata Ahmad Zahid membuatkan orang tertanya-tanya: jadi, bila tarikh Umno hendak keluar dari kerajaan PN?

Di akhir persidangan Ahmad Zahid memberikan jawapan dalam ucapan penangguhan petang itu. Kata Ahmad Zahid tarikh tepat untuk Umno mengucapkan sayonara kepada PN diserahkan kepada presiden.

Siapakah presiden itu? Dia sendirilah. Dan juga MT Umno. Bilakah detik itu? Pada “bila-bila masa yang dirasakan sesuai”. 

Deja vu? Ya. Antiklimaks? Pun ya.

Bayangan yang diperkatakan orang bahawa Umno dan menteri-menterinya akan menarik diri daripada PN pada bulan Ogos pun, keluar daripada mulut Mohamad dan ahli MT, bukan dari mulut Ahmad Zahid.

Berbalik kepada kata dua 14 hari Umno itu. Kenyataan Ahmad Zahid ditempelak oleh seorang bekas MT, Nazri Abdul Aziz, yang menyifatkannya tidak boleh dilakukan memandangkan notis kepada ahli parlimen pun perlu diberikan sekurang-kurangnya 28 hari sebelum parlimen bersidang. 

Nazri juga tidak segan silu mengaku dialah penggerak bagi mengumpulkan tandatangan 25 ahli parlimen BN dalam bentuk akuan bersumpah (SD) untuk menzahirkan pendirian mereka yang sudah hilang kepercayaan terhadap Ahmad Zahid.

Mereka kemudian mahu menyerahkan mandat kepada Menteri Luar yang juga bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Sekurang-kurangnya biar menghiburkan

Tujuannya? Apa lagi kalau bukan untuk mengangkat Hishammuddin. Ada pihak yang mendakwa mula-mula dia mahu diletakkan di bawah Muhyiddin Yassin. Dan terlalu naiflah jika kita percaya hanya itu - berada di bawah Muhyiddin - matlamat Umno.

Ahmad Zahid kemudian menyifatkan dakwaan hilang kepercayaan itu sebagai “cerita kartun”, tetapi dia tidak langsung mengulas tempelakan Nazri ke atas gesaan tempoh 14 hari yang dikatakan tidak masuk akal itu. 

Ini sama seperti pejabat Hishammuddin yang menafikan surat tular mendakwa dia - selalku Bendahari Agung BN - kononnya memohon perkenan untuk menghadap Agong untuk menjadi perdana menteri baru.

Tetapi pejabat itu - atau Hishammuddin sendiri - tidak pula mengulas apa-apa berhubung SD yang diperkatakan Nazri.

Kalaulah artikel ini sebuah filem atau drama Netflix, mahu sahaja saya rencanakan plot yang aneh-aneh, yang tidak terjangka, yang liar, atau kalau klise pun tidak mengapa, tapi harus sekurang-kurangnya menghiburkan.

  • Mohamad bersubahat dengan Ismail Sabri untuk menggulingkan Ahmad Zahid, contohnya.
  • Hishasmuddin mendapat perkenan menghadap Agong dan Malaysia akan sekali lagi mendapat perdana menteri baru tanpa pilihan raya, misalnya.
  • Ahmad Zahid menjilat ludah sendiri dan berpakat dengan Anwar seperti yang banyak kali didakwa sebelum ini, konon-kononnya.
  • Atau seperti telahan penganalisis politik, jawatan timbalan perdana menteri yang lama tidak terisi akhirnya akan menerima tubuh Hishammuddin - bukan Ahmad Zahid - sebagai penyandangnya, katanya.

Tetapi, rasanya, benar-benar tiada apa-apa yang akan berlaku apabila cukup haul 14 hari nanti.

Bacalah betul-betul kenyataan Ahmad Zahid itu. Kenyataan itu seperti memang sengaja disiapkan agar tidak diendahkan atau diambil perhatian.

Seandainya Umno di bawah Ahmad Zahid ini sebuah filem Netflix, maka ia akan menjadi filem yang sangat antiklimaks. Filem yang akan membuatkan saya terus menutup TV dan mencabut plug, dan sekali gus membatalkan langganan pelan Standard RM45 sebulan.

Kalau bulan, tempoh selama 14 hari itu sudah cukup untuk bertukar fasa daripada anak bulan menjadi bulan mengambang cantik. Tapi kalau telur ayam, 14 hari tak cukup untuk menetaskan apa-apa.

Jadi untuk Umno pimpinan Ahmad Zahid, apa yang boleh dijangkakan dalam 14 hari ini?

Seperti selalu - dan telah ditegaskan buat kali ketiga di sini - barangkali tiada akan ada apa-apa.

“Umno berpendirian tegas untuk mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja pemerintah agar memanggil sidang parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan ini.

“Kegagalan kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi raja-raja pemerintah.

“Sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela institusi raja-raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan Umno, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya.”

Barangkali, ayat tiga perenggan di atas juga boleh diringkaskan menjadi: “Umno akan adakan mesyuarat MKT dalam masa 14 hari ini”.

Entah-entah sesudah cukup haul 14 hari itu biro politik harus bermesyuarat sekali lagi untuk menentukah wajarkah MT bermesyuarat. Dan kalau wajar, bila pula?

Aduh…. 


M FAKHRULL HALIM ialah wartawan Malaysiakini.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.