KJ gesa orang ramai lapor polis jika ada pihak jual vaksin Covid-19
Orang ramai digesa tidak melayan tawaran pihak yang menjual vaksin Covid-19, kerana ia diberikan secara percuma oleh kerajaan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick), kata menteri penyelaras vaksinasi Khairy Jamaluddin.
"Sebaliknya, ia harus dilaporkan terus kepada polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam satu kenyataan berasingan hari ini, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) yang dipengerusikan oleh Khairy mengatakan bahawa pihaknya telah membuat laporan polis pada 14 dan 22 Jun mengenai dakwaan penjualan vaksin Covid-19.
"CITF sedang memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM untuk menyegerakan siasatan dakwaan penyelewengan ini. Kami difahamkan beberapa tangkapan telah dibuat dan butiran lanjut akan diumumkan oleh PDRM dalam masa terdekat.
"CITF ingin menegaskan bahawa tiada vaksin atau slot janji temu boleh dijual sama sekali.
"Pemberian suntikan vaksin adalah dilaksanakan secara percuma kepada semua penduduk Malaysia di bawah Pick," kata CITF.
Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa siasatan atas dakwaan bahawa "syarikat swasta bukan penjagaan kesihatan" menjual vaksin pada harga RM400 untuk dua dos bagi setiap orang.
Ia juga mendakwa bahawa syarikat tersebut telah menggunakan kemudahan penjagaan kesihatan swasta untuk vaksinasi.
Walau bagaimanapun, Khairy mengatakan vaksin tersebut kini diberikan tanpa dikenakan bayaran kepada penerima vaksin, termasuk di pusat pemberian vaksin (PPV) yang dikendalikan oleh sektor swasta melalui syarikat bukan bermotif keuntungan Kementerian Kesihatan, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.
Ini meliputi PPV yang ditubuhkan di klinik dan hospital swasta, pusat jagaan ambulatori, dan premis industri tertentu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai