'JKM perlu kerjasama dengan pusat zakat bantu rakyat terkesan akibat PKP'
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disaran bekerjasama dengan pusat zakat bagi membantu golongan yang terkesan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).
Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid menyuarakan cadangan itu susulan laporan berkenaan masalah kemurungan dan kejadian bunuh diri susulan kesukaran yang dihadapi, mutakhir ini.
Mustafa membangkitkan berita seorang lelaki berusia 26 tahun yang bunuh diri akibat perniagaannya yang merosot, serta pengakuan tular seorang wanita berkenaan suaminya yang meracau dipercayai akibat tekanan perasaan.
"Untuk mengatasi masalah ini dengan berkesan, pihak JKM dicadangkan untuk mewujudkan kerjasama dengan pihak lembaga zakat serta parti-parti politik tempatan yang lebih arif mengenali siapa dan di mana individu atau keluarga yang perlu diberikan bantuan segera.
"Kerajaan perlu bersikap terbuka dan menolak sementara sentimen politik bagi memastikan tiada lagi kenaikan kes bunuh diri dan menurunkan kadar pesakit mental sepanjang tempoh PKP ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 22 Jun lalu, Sinar Harian memetik Ketua Polis daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim sebagai berkata, wanita bersama dua anaknya itu yang dikurung suaminya diselamatkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Senawang selepas polis menerima laporan daripada jiran.
Kejadian bunuh diri melibatkan lelaki berusia 26 tahun itu pula dilaporkan berlaku di Butterworth, Pulau Pinang pada 23 Jun lalu.
Dilaporkan seramai 266 kes bunuh diri berlaku sejak 18 Mac hingga 31 Oktober tahun lalu, iaitu ketika penguatkuasaan PKP.
Di Pulau Pinang pula, Ketua Menteri CHow Kon Yeow memaklumkan sebanyak 53 kes bunuh diri dilaporkan berlaku antara Januari hingga Mei tahun ini.
Dalam pada itu, Mustafa berkata banyak kes-kes melibatkan gejala mental di kalangan masyarakat hari ini atas pelbagai sebab dan antara sebab utama adalah kehilangan sumber pendapatan.
"Kenaikan kadar jumlah pesakit mental juga semakin membimbangkan. Kehidupan rakyat kian terdesak disebabkan kehilangan kerja terutamanya dan putus bekalan makanan untuk menyara keluarga," katanya lagi.
Sekiranya anda merasa tertekan atau memiliki kencenderungan untuk bunuh diri, atau mengenali seseorang dalam keadaan itu, hubungi talian hotline berikut:
Sekiranya anda merasa tertekan, mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri atau mengenali seseorang yang sedemikian, anda boleh menghubungi pihak di bawah untuk mendapatkan bantuan dan sokongan:
Pusat Kaunseling Agape Malaysia
- Talian Hotline: 03-77855955 atau 7781 0800
The Befrienders (https://www.befrienders.org.my/)
- Talian Hotline: 03-79568144 atau 03-79568145
Life Line Association Malaysia
- Talian Hotline: 03-42657995
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai