Skip to main
Logo Malaysiakini

MTUC gesa k'jaan buka semula sektor ekonomi dengan SOP lebih ketat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bagi mengelakkan lebih banyak kluster tempat kerja.

MTUC mencadangkan pembukaan semula itu dibuat selepas 28 Jun ini, iaitu selepas penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh dijadual berakhir.

Menurut setiausaha agungnya Kamarul Baharin Mansor, untuk merangka SOP itu, kerajaan perlu melibatkan MTUC agar pandangan pekerja yang terlibat secara langsung dalam industri dapat memberi nilai tambah kepadanya.

“Data menunjukan bahawa majoriti kes positif Covid-19 adalah datang dari kluster tempat kerja.

“Adakah kluster tempat kerja berlaku disebabkan oleh kegagalan majikan mematuhi SOP ataupun SOP yang ada tidak sesuai di tempat kerja.

“Ketidaktentuan ini menunjukan bahawa satu kegagalan oleh pihak majikan dan wajar diambil tindakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga 14 Jun 2021, sejumlah 1,328 kluster tempat kerja dikesan di negara ini, dengan 147,040 kes positif Covid-19.

Dalam kategori tersebut, 68 peratus kes melibatkan bukan warganegara (100,086 kes) manakala 32 peratus kes melibatkan warga tempatan (46,954).

Dari segi sektor pula, sektor pembuatan mencatatkan jumlah kluster dan kes tertinggi, dengan 639 kluster dan 95,156 kes di seluruh negara.

Kamarul Baharin berkata sektor ekonomi perlu dibuka semula kerana kebanyakan pekerja tidak dapat bertahan ekoran tiada sumber pendapatan.

"Kes harian tidak stabil kerana disumbangkan oleh kluster tempat kerja dan tidak adil bagi pekerja yang patuh SOP PKP tetapi tidak di benarkan bekerja sehingga tiada punca pendapatan.

“Pembukaan sektor ekonomi yang lain akan memberikan keadilan kepada pekerja yang bergaji harian,” kata Kamarul.

Dalam pada itu, dia menggesa supaya kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin kepada semua pekerja dan bersikap telus dalam memberi maklumat berkaitan vaksin.