Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengambilan khas guru: 'Utamakan graduan perguruan belum dapat tempat'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jawatankuasa Pendidikan PH (JKPPH) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan pengambilan khas guru "one-off" secara berfasa, dengan mengutamakan guru-guru interim dan graduan perguruan sedia ada.

Dalam kenyataan hari ini, jawatankuasa itu juga menekankan isu kualiti guru diberi keutamaan dalam pengambilan itu, yang akan bermula 7 Julai ini.

"JKPPH mencadangkan supaya pengambilan ini dilakukan secara berhati-hati dan berfasa.

"Fasa 1: Melantik secara tetap guru-guru interim yang kini sedang berkhidmat di sekolah dan telah memperolehi Diploma Pendidikan tetapi belum dipanggil untuk pengesahan jawatan.

"Fasa 2: Mendahulukan penempatan calon-calon guru dalam kalangan graduan PISMP (Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan) dan ISMP (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan) yang telah pun berdaftar dengan MYSPP tetapi belum mendapat penempatan yang mana jumlahnya melebihi 16,000 orang.

"Fasa 3: Membuat pemilihan dalam kalangan graduan bidang lain yang benar-benar berkelayakan bagi mengisi kelompangan yang masih ada," kata JKPPH dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani Dr Maszlee Malik selaku pengerusi JKPPH, Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Setiawangsa), Dr Hasan Bahrom (Amanah-Tampin), Teo Nie Ching (DAP-Kulai), Natrah binti Ismail (PKR-Sekijang), Steven Sim Chee Keong (DAP-Bukit Mertajam) dan Rusnah Aluai (PKR-Tangga Batu).

Pada 20 Jun lalu, Radzi berkata pengambilan khas guru itu melibatkan 18,702 tempat bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru di sesetengah negeri dan menjamin kelancanran pengajaran dan pembelajaran di tengah-tengah wabak Covid-19.

Radzi juga membangkitkan kekurangan calon kelulusan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan ketidakpadanan untuk sejumlah mata pelajaran, antaranya Bahasa Inggeris dan Pendidikan Agama Islam.

Sementara itu, JKPPH berkata bahawa proses temu duga dan pemilihan calon guru nanti hendaklah dilaksanakan secara bersemuka.

"Ini bagi membolehkan individu yang benar-benar layak sahaja dipilih dan bukan sekadar melalui dalam talian dan tergesa-gesa.

"Hal ini jika tidak diuruskan secara profesional hanya akan meletakkan masa depan kualiti keguruan negara ini di dalam bahaya," kata JKPPH.

JKKPH juga berharap penelitian dapat dibuat berhubung pelajar tahun akhir ISMP di universiti awam sebelum pengambilan khas dibuat.

"Mereka bakal menamatkan pengajian seawal hujung tahun ini atau tahun depan, tetapi tempat mereka telah diisi oleh calon-calon yang bukan daripada bidang tersebut lantaran pengambilan terus secara beramai-ramai ini. Apakah KPM dan pihak universiti telah berbincang akan perkara ini?" soalnya.

Justeru, kata JKPPH, perbincangan secara menyeluruh perlu dibuat antara KPM dan pihak terlibat, termasuk Institut Pendidikan Guru malaysia dan Majlis Dekan Fakulti Pendidikan universiti awam, sebelum sebarang keputusan dibuat.