Skip to main
Logo Malaysiakini

Kumpulan rentas parti ulangi gesaan tangani isu kesesakan penjara

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sebuah kumpulan rentas parti mengulangi gesaan agar kerajaan membangunkan dasar bagi menangani kesesakan melampau di penjara yang menyumbang kepada penularan Covid-19.

Dalam satu maklum balas terhadap laporan bertajuk “Dipenjara ketika wabak”, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Mengenai Reformasi Penjara Dan Tempat Tahanan Awam (KRPPM) berkata, pengalaman banduan-banduan yang dikongsi pada artikel tersebut adalah “menjengkelkan".

Kata KRPPM, satu penyelesaiannya adalah memastikan banduan yang melakukan jenayah kecil - seperti melanggar protokol Covid-19 - menjalani program pemulihan komuniti berbanding dipenjarakan.

“Kita tahu bahawa 60 peratus banduan dipenjarakan atas kesalahan kecil berkaitan dadah yang tidak membabitkan keganasan, dan ramai yang ditahan seketika di sel sementara menunggu perbicaraan.

“Mereka tak perlu dipenjarakan pun pada awalnya,” kata KRPPM.

Program pelepasan banduan

Jabatan Penjara Malaysia melaksanakan program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) pada Oktober tahun lepas, dengan mengenal pasti 11,018 banduan bagi pelepasan awal.

Kerajaan juga membangunkan pusat tahanan sementara bagi menangani masalah kesesakan melampau di penjara.

Bagaimanapun, maklumat berkaitan kedua-dua program itu sukar didapati.

Pada Februari, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin memaklumkan bahawa kerajaan sedang menyiapkan satu undang-undang baru bagi membolehkan pesalah membabitkan penyalahgunaan dadah tidak dipenjarakan.

Bagaimanapun, parlimen hanya dapat bersidang paling awal Ogos ini.

KRPPM juga menggesa kerajaan mempercepatkan program vaksinasi terhadap tahanan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Katanya mereka telah menerima "maklum balas positif" mengenai cadangan ini dari Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

"Sangat mendesak bagi kita untuk pastikan pelaksanaan vaksin lebih cepat kerana akan membantu mengurangkan penularan di kalangan masyarakat," kata APPGM.

Sementara itu, KRPPM turut menggesa kerajaan memfokuskan pemulihan dan reintegrasi (penerimaan semula ke dalam masyarakat) bekas banduan.

Tugas reintegrasi banduan, kata KRPPM, kini digalas kumpulan komuniti dengan dana yang terhad.

“Usaha reintegrasi tidak boleh hanya bergantung kepada kebajikan, satu dasar reintegrasi nasional harus dijadikan sebahagian daripada strategi kebangsaan kerajaan bagi mengurangkan kadar jenayah dan seterusnya membantu pembebasan tahanan,” kata kumpulan itu.

KRPPM dianggotai Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar), Vell Paari (MIC-Senator), MOhd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar), Liew Chin Tong (DAP-Senator), Dr Adeeba Kamarulzaman (Universiti Malaya) and Sangeet Kaur Deo (peguam).