Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kadar vaksinasi tinggi punca bekalan vaksin habis di beberapa PPV'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 berdepan kekurangan bekalan ekoran kadar penggunaan vaksin yang tinggi, menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Khairy Jamaluddin.

Khairy bagaimanapun berkata isu tersebut hanya berlaku di beberapa PPV.

"Sekarang ini kita sedang tingkatkan kadar penggunaan vaksin. Jadi telah berlaku di beberapa PPV, di mana telah habis stok sedia ada dan penghantaran tak dapat dibuat.

"(Tetapi) ini mungkin untuk sehari dua sahaja. Kita cuba elak perkara ini dengan (buat) perancangan lebih rapi.

"Saya rasa dalam Julai, bila penghantaran (dibuat) lebih banyak, perkara ini tak akan berlaku lagi," katanya ketika sidang media di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur hari ini.

Kunjungan Khairy di situ hari ini bagi memantau pemberian vaksin kepada wanita mengandung.

Sebelum ini Malaysiakini menerima maklumat bahawa ada PPV di beberapa negeri yang tidak dapat memberi vaksin kepada mereka yang hadir untuk temu janji vaksin kerana ketiadaan bekalan.

Khairy berkata masalah itu akan ditangani dan mereka yang tidak mendapat suntikan vaksin ketika temu janji mereka telah diberi tarikh baru.

Dia berkata daripada lapan juta dos yang telah diterima setakat ini, sebanyak tujuh juta dos telah digunakan.

Selangor perlu tingkatkan kadar vaksinasi

Dalam pada itu, Khairy berkata Selangor perlu meningkatkan kadar pemberian vaksin di negeri itu.

Dia berkata demikian ketika ditanya mengapa Selangor - sebuah negeri yang berkepadatan tinggi - mencatatkan kadar vaksinasi yang rendah.

Menurut Khairy, perkara itu adalah disebabkan isu kapasiti, bukannya bekalan vaksin.

"Kita telah tingkatkan pengagihan (vaksin) kepada Selangor pada Jun dan Julai. Saya rasa mereka dapat lebih 20 peratus daripada keseluruhan bekalan vaksin.

"Selangor ada isu kapasiti. (Sebelum ini) vaksinasi di negeri itu pada kadar 20,000 (dos) sehari. Saya perlu ke sana, untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk tingkatkan kapasiti.

"Sekarang kadar mereka hampir 50,000 dos sehari. Tetapi mereka perlu (tingkatkan kepada) lebih 100,000 dos sehari," katanya.

Keperluan suntikan ketiga

Khairy juga memaklumkan jawatankuasa khas yang memantau perolehan vaksin kini sedang menimbang keperluan mendapatkan lebih bekalan untuk tahun depan.

Katanya, pihaknya sedang meneliti jika ada keperluan memberi suntikan vaksin ketiga sebagai dos penggalak (booster).

"Kita mahukan data yang lebih baik berkenaan berapa lama perlindungan akan kekal. Dan jika ia berkurang, bagaimana dengan keperluan untuk booster shos?

"Kita juga melihat tentang perkara ini kerana berikutan varian Delta. Di United Kingdom, 90 peratus jangkitan baru adalah daripada varian Delta.

"Dua hari lalu, Israel yang merupakan antara negara yang paling pantas memvaksinkan penduduknya, menguatkuasakan semula pemakaian pelitup muka di tempat tertutup kerana varian ini," katanya lagi.