Skip to main
Logo Malaysiakini

J'kuasa teliti sidang Parlimen hibrid bermesyuarat 5 Julai

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jawatankuasa untuk meneliti pelaksanaan sidang Parlimen secara hibrid akan bermesyuarat pada 5 Julai ini.

Wakil PH dalam jawatankuasa itu, Nga Kor Ming berkata dia menerima undangan mesyuarat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun.

Nga, yang merupakan Ahli Parlimen Teluk Intan dan bekas timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, merupakan wakil tunggal PH dalam jawatankuasa itu.

Tidak dapat dipastikan jika ada Ahli Parlimen pembangkang lain yang turut menganggotai jawatankuasa itu.

Selain Azhar, jawatankuasa itu turut dianggota Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, kedua-dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat serta Ketua Pentadbir Parlimen.

Menurut Rais, jawatankuasa itu akan mengkaji konsep dan kaedah pelaksanaan sidang Parlimen itu, iaitu campuran antara kehadiran di dewan dan juga secara dalam talian.

Semalam, Azhar dan Rais berkata sidang parlimen secara hibrid dijangka akan dapat diadakan pada akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September.

Sementara itu, Nga dalam kenyataan berkata Parlimen patut bersidang lebih awal, demi menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu.

Justeru, dia menganggap mesyuarat jawatankuasa tersebut akan menyebabkan penangguhan yang tidak perlu.

"Jelas kerajaan Perikatan nasional sedang mengalami 'fobia Parlimen'," katanya.

[Baca berita asal]