MMA tolak cadangan pengambilan pegawai perubatan berdasarkan kaum
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menolak cadangan untuk kerajaan membuat pertimbangan menggaji pegawai perubatan baru mengikut kaum.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) Dr Zainal Ariffin dipetik dalam laporan Utusan Malaysia minggu lalu sebagai mengatakan bahawa kajian semula akan membolehkan lebih ramai lulusan perubatan "khususnya kalangan bumiputera" mendapat penempatan tetap dalam perkhidmatan awam, dan juga mengurangkan pengangguran.
Usul ini menarik perhatian orang ramai ketika Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dalam satu kenyataan pada hari Rabu, mengatakan bahawa kerajaan ambil maklim cadangan tersebut.
Adham dalam kenyataan itu mengatakan bahawa kerajaan masih mengambil lulusan perubatan, tetapi tidak mengatakan bahawa ia dilakukan berdasarkan kaum.
Dalam kenyataan mereka hari ini, presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy mengatakan bahawa persatuan itu menolak kaum dan agama digunakan untuk mempengaruhi pelantikan pegawai perubatan untuk perkhidmatan tetap.
"Sebagai profesional di sektor perubatan, kita memerlukan bakat terbaik dan paling cemerlang untuk melayani rakyat.
"Bakat seperti itu terdapat dalam semua kaum, agama, kepercayaan, etnik, dan jantina," katanya.
Tanpa menamakan PPPAKM, dia juga mengatakan cadangan untuk memastikan bahawa lulusan bumiputera mendapat penempatan tetap adalah diskriminatif dan menghina - dan menggesa kerajaan tidak terlibat dalam hal seumpamanya.
"Kerajaan Malaysia harus memimpin dalam menyatukan rakyat, bukan untuk menyebarkan perselisihan di kalangan profesional.
"Tidak ada tempat untuk amalan diskriminasi seperti itu di Malaysia, apalagi di dalam kerajaan dan Kementerian Kesihatan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai