Skip to main
Logo Malaysiakini

Senator cadang perlembagaan diperjelas elak salah guna SD

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sudah tiba masanya peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkaitan pelantikan perdana menteri berdasarkan sokongan majoriti Dewan Rakyat harus diperjelas, saran senator Yusmadi Yusoff.

Hal itu katanya, bagi mengelakkan tafsiran terhadap peruntukan berkenaan yang boleh mendorong penyalahgunaan akuan bersumpah (SD) dalam menukar kerajaan yang dipilih menerusi mandat pilihan raya.

Katanya, SD bawah Akta Akuan Berkanun 1960, tidak seharusnya disalahgunakan untuk tujuan kepentingan politik seperti yang berlaku di negara ini, lebih-lebih lagi dalam urusan menukar kerajaan.

Dengan itu juga, katanya, kes-kes rujukan sebelum ini - seperti penyingkiran ketua menteri Sarawak pada 1966 menerusi memorandum dan pelantikan menteri besar Perak menerusi SD pada 2020 - harus “diperbetul” secara dasar dan perundangan.

Dia merujuk Perkara 43 (2) (a) iaitu Yang di-Pertuan Agong berhak melantik perdana menteri untuk mempengerusikan jemaah menteri daripada kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Katanya, memandangkan tafsiran sesetengah pihak terhadap peruntukan itu, ia mendorong mereka menyalahgunakan SD secara melampau sehingga mengabaikan mandat rakyat menerusi pilihan raya.

Maka, peruntukan perlembagaan itu gesa Yusmadi, wajar diperjelas bagi mengelakkan penyalahgunaan pada masa hadapan.

“Niat SD bukanlah untuk tujuan sebegitu (menukar kerajaan). Kalau hanya SD untuk menubuhkan kerajaan, tak perlulah lagi buat pilihan raya.

“[...] Memandangkan terdapat tafsiran (terhadap peruntukan tersebut) yang dikatakan menyebabkan penyalahgunaan tersebut boleh berlaku, saya menggesa peruntukan Perlembagaan tersebut diperjelas.

“Dan untuk penjelasan itu, ia boleh berlaku pindaan, atau pun ia juga boleh berlaku secara peraturan yang lebih jelas,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Jelas Yusmadi, perlembagaan telah menggariskan secara jelas pendekatan yang harus digunakan untuk menyatakan sokongan di parlimen, contohnya menerusi undian dalam sokongan Belanjawan, atau undi rahsia dalam dalam pemilihan speaker.

“Perlembagan menggariskan dengan jelas bahawa hak Yang di-Pertuan Agong untuk melantik perdana menteri perlu dibuat di dalam Dewan (Rakyat),” tambahnya lagi.

Setelah tumbangnya kerajaan PH pada Feb tahun lalu, berlaku 'perang SD' bagi meraih sokongan untuk calon bakal perdana menteri kelapan.

Akhirnya, Muhyididn Yassin dilantik sebagai perdana menteri selepas mendapat sokongan majoriti ahli parlimen terdiri daripada, BN, Bersatu, PAS, GPS dan parti di Sabah dan Sarawak.

Sebelum ini, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah mengaku tidak menandatangani SD menyokong Muhyiddin kerana dikatakan menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Meskipun setuju Agong berhak memilih perdana menteri yang difikirkan baginda mempunyai sokongan majoriti, kata Tengku Razaleigh, ia harus diuji di Dewan Rakyat bagi menentukan sama ada perdana menteri dipilih itu benar-benar mendapat sokongan majoriti ahli parlimen atau sebaliknya.

Dia turut tidak bersetuju dengan pendekatan SD untuk menyatakan sokongan terhadap perdana menteri yang katanya terdedah dengan kemungkinan paksaan, ugutan atau ancaman.

"Yang dikehendaki parlimen ialah kita undi di Dewan Rakyat dengan terang, dengan ikhlas hati.

"Itu yang dikehendaki perlembagaan,” tegas Tengku Razaleigh seperti dilaporkan.