Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO gesa inkues siasat kematian tahanan lokap Kota Bharu

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Satu inkues menyiasat kematian seorang gelandangan dalam tahanan Balai Polis Kota Bharu perlu diadakan, gesa kumpulan hak asasi Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict).

Menurut laporan Bernama, gelandangan berusia 48 tahun itu dalam tahanan polis meninggal dunia dipercayai akibat pendarahan otak ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), pada Rabu 23 Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Mohammed Piah berkata lelaki itu diserang kekejangan otot ketika berada di lokap Balai Polis Kota Bharu,sebelum dibawa ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan, namun dia dilaporkan meninggal dunia pada pukul 7.50 malam.

“Mengikut laporan bedah siasat, lelaki itu meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak dan tiada kecederaan luaran, malah berdasarkan siasatan awal, dia juga menghidap penyakit sawan,” katanya petik laporan pada 25 Jun.

Dalam pada itu, Edict menyoal kenapa tidak dilakukan pemeriksaan keadaan kesihatan terhadap gelandangan itu sebelum dia ditahan di lokap Balai Polis Kota Bharu.

“Bukankah Ketua Polis Negara telah mengarahkan kesemua balai polis agar melakukan pemerikssaan kesihatan terlebih dahulu ke atas tahanan sebelum dihantar ke lokap?

"Disamping itu, Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lokap 1953 juga menghendaki seseorang tahanan perlu dipastikan sihat sebelum dibenarkan untuk ditahan di dalam lokap," kata Edict pada satu kenyataan hari ini.

Kumpulan hak asasi itu menegaskan setiap kematian dalam tahanan perlu disiasat melalui siasatan inkues oleh mahkamah koroner.

"Seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah mewajibkan setiap kematian dalam lokap polis, penjara atau pusat rawatan sakit jiwa hendaklah disiasat melalui satu siasatan inkues oleh Hakim Koroner melalui Mahkamah Koroner.

"Pihak polis dinasihatkan agar tidak mendahului Mahkamah Koroner dalam mengumumkan dan menentukan punca dan sebab kematian," katanya.

Edict juga mendesak kerajaan supaya mempercepat pelaksanaan IPCMC (Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis) supaya kes seperti ini dapat disiasat dengan telus dan adil.

Kumpulan hak asasi itu juga merayu orang ramai yang memiliki maklumat mengenai kes ini untuk menghubungi Eict "agar pembelaan sewajarnya dapat diberikan kepada mangsa dan keadilan dapat ditegakkan."

Lelaki gelandangan itu dipercayai berketurunan Melayu dari Kampung Bechah Mulong, Peringat itu ditahan di tepi Jalan Maju, dekat Kota Bharu pada 22 Jun lepas.

Polis menahannya kerana kesalahan memiliki senjata berbahaya, mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Lelaki itu juga dilaporkan mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 6 (1) akta yang sama serta Seksyen 411 Kanun Keseksaan (memiliki barang curi).