Tak sampai sehari, kasut Converse 104 tahun berharga RM40,800 terjual
Tidak sampai sehari, kasut Converse model pertama di dunia yang dihasilkan pada tahun 1917 milik pengumpul kasut vintaj dan antik, Wan Irfayuim Azim Wan Ab Aziz, 31, telah berjaya dijual.
Ia dijual pada harga RM40,800 - iaitu harga yang diletakkan Wan Irfayuim ketika mengiklankannya - kepada seorang pengumpul barang vintaj di Kuantan, Pahang.
Dia berkata, seorang pengguna Facebook bernama Dynamo Rasqputin menghubunginya semalam dan menyatakan hasrat untuk untuk membeli kasut Converse Non Skid yang berusia 104 tahun itu.
“Dalam beberapa jam saya buat hantaran di Facebook untuk melepaskan kasut tersebut, pembeli itu mesej kepada saya dan urusan jual beli berjaya dalam masa 8 jam selepas hantaran tersebut.
“Pembeli akan bayar dengan ansuran dan selepas selesai pembayaran, kami akan berbincang balik untuk urusan serahan kasut itu,”katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Semalam, Malaysiakini melaporkan kisah Wan Irfayuim yang tinggal di Kota Bharu, Kelantan yang terpaksa menjual kasut kesayangannya itu kerana terkesan dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.
Kasut tersebut turut dijual bersama dengan sepasang seluar pendek dan pelindung lutut bola keranjang yang wujud sejak tahun 1916 dan pernah dipakai oleh pemain bola keranjang daripada AS suatu ketika dahulu.
"Dalam keadaan sekarang, ekonomi tidak menentu, jadi dengan berat hati, saya terpaksa menjual salah satu koleksi kesayangan kasut saya dengan harga RM 40,800," katanya semalam.
Nilai sejarah dan sentimental
Wan Irfayuim menyuarakan rasa sedih kerana terpaksa melepaskan kasut tersebut tetapi ia pilihan yang terpaksa diambil akibat desakan ekonomi.
“Jika ingin gambarkan tentang perasaan, saya boleh mengatakan, perasaan itu seperti gembira dalam duka.
“Ini kerana koleksi kasut Converse ini mempunyai nilai sejarah dan sentimental kepada saya tetapi apakan daya, masa dan keadaan sekarang tidak mengizinkan untuk saya menyimpannya,” katanya.
Bagaimanapun, dia tetap bersyukur kerana pembeli adalah orang tempatan justeru mengekalkan kasut Converse model pertama itu terus berada di Malaysia.
“Ini akan mengekalkan benda sejarah untuk berada dalam negara ini.
“Saya juga sedang usahakan satu buku panduan untuk kasut-kasut vintaj, dan apabila kasut itu masih dalam Malaysia, ini memudahkan saya untuk membuat rujukan.
“Mungkin bila keadaan mengizinkan, saya akan dapatkan kasut itu kembali. Tetapi bergantung kepada rezeki yang ada,” katanya lagi.
Sementara itu, pembeli kasut tersebut yang dikenali sebagai Dynamo Rasqputin berkata, dia membeli kasut tersebut kerana nilainya yang tinggi berdasarkan pasaran luar negara memandangkan nilai sejarah yang tersimpan padanya.
“Saya beli kasut ini bernilai RM40,800 dengan rendah hati, befikiran waras serta tanpa paksaan dan sama-sama kita tengok berapa kasut ini akan terjual kepada pasaran luar negara.
“Saya akan buktikan yang vintaj ini adalah salah satu cabang perniagaan dan pelaburan alaf baru pada masa ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai