Skip to main
Logo Malaysiakini

Lim: Pakej rangsangan ekonomi belum tentu dapat baiki keadaan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional bahawa pakej rangsangan ekonomi kelapan yang akan dilancarkan dalam beberapa hari nanti tidak semestinya boleh memperbaiki keadaan.

Sebaliknya, dia menggesa mengadakan moratorium pinjaman bank automatik dengan pengecualian faedah hingga akhir tahun, dan suntikan dana minimum RM45 bilion untuk mengimbangi jangkaan kerugian ekonomi sebanyak RM170 bilion yang ditanggung ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh yang sedang berjalan.

“Kerajaan PN akhirnya tunduk kepada tekanan dari orang ramai dan ahli parlimen pembangkang, susulan pengumuman Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengenai moratorium pinjaman bank dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui kemudahan i-Sinar.

“Bagaimanapun, kerajaan enggan mengakui bahawa PKP penuh akan menelan kos sebanyak RM170 bilion kepada ekonomi, di mana negara bakal rugi sebanyak RM1 bilion setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dia mendakwa bahawa salah satu sebab utama pakej rangsangan ekonomi kerajaan gagal memberi kesan adalah disebabkan dana langsung yang tidak mencukupi.

Terdapat tujuh pakej rangsangan ekonomi sebelum ini berjumlah RM380 bilion, yang diperkenalkan sejak tahun lalu oleh PN untuk mengimbangi kemelesetan ekonomi akibat wabak Covid-19.

"Daripada jumlah RM380 bilion itu, suntikan fiskal langsung dianggarkan hanya RM77.6 bilion iaitu sangat tidak mencukupi untuk menangani kerugian ekonomi beratus-ratus bilion ringgit sejak PKP 1.0," kata Ahli Parlimen Bagan itu.

"Pakatan Harapan telah mencadangkan moratorium pinjaman automatik hingga akhir tahun ini, kecuali bagi golongan T20, dan suntikan bantuan kewangan sebanyak RM45 bilion secepat mungkin untuk menyelamatkan rakyat daripada kehilangan pekerjaan, mata pencarian, dan perniagaan.

"Dari RM45 bilion ini, sekurang-kurangnya RM35 bilion mesti diperuntukkan untuk membantu perniagaan yang sedang bergelut dengan keadaan semasa, terutama kepada hampir satu juta PKS yang membentuk 98.5 peratus perniagaan di Malaysia dan menyumbang 39 peratus kepada KDNK negara kita pada 2019," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin mengesahkan perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak akan berakhir esok, dan akan berterusan sehingga nilai ambang kurang dari 4,000 kes sehari tercapai.

Muhyiddin juga berkata kerajaan akan mengumumkan bantuan lebih menyeluruh kepada semua kumpulan masyarakat pada Isnin atau Selasa ini.

PKP kali ini mula berkuat kuasa pada 1 Jun lalu. Dijadual selama dua minggu, ia kemudian dilanjutkan sehingga esok (28 Jun).

Kementerian Kesihatan semalam melaporkan 5,803 kes baru Covid-19, dan terdapat 81 kematian yang menjadikan jumlah kematian terkumpul menjadi 4,884.