Kes poster: Polis akan panggil Fahmi Reza minggu depan
Polis akan memanggil pereka grafik dan aktivis Fahmi Reza pada minggu depan berhubung poster Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad yang dimuat naiknya di Facebook dan Twitter, baru-baru ini.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya telah memanggil beberapa individu sebelum ini untuk memberi keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.
"Kita akan memanggil suspek utama dalam kes ini untuk memberi keterangan," katanya ringkas ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh hari ini.
Pada 17 Jun lepas, Ketua Pemuda Umno Perak Mohd Ariff Abdul Majid membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar berhubung poster berkenaan yang disifatkan sebagai fitnah dan sengaja menimbulkan kebencian terhadap Menteri Besar Perak.
Mohd Ariff dilaporkan berkata, poster yang dimuat naik Fahmi Reza itu menjadi tular bersama kapsyen berbunyi 'kita dah bagi makan sardin, jangan gatal nak mintak ayam pulak' mengundang kecaman dan maki hamun pengguna media sosial yang lain.
Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash menasihatkan semua pihak agar tidak menganjurkan sebarang aktiviti termasuk pesta durian semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menurutnya, tindakan itu secara jelas menyalahi prosedur operasi standard (SOP) PKP yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.
"Kita memahami ketika ini memang musim durian di seluruh negara, semua orang hendak makan durian, namun begitu perlu guna saluran yang dibenarkan.
"Peniaga dibenarkan untuk berniaga dan kita juga dibenarkan untuk membeli, cuma pesta durian kita tidak benarkan ketika ini," katanya.
Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail dilaporkan berkata pihaknya akan memanggil seorang selebriti terkenal bergelar Datuk untuk diambil keterangan berhubung penularan gambar pelanggaran SOP menunjukkan satu majlis sosial di sebuah ladang Kampung Poh di Bidor, Khamis lepas.
Wan Azharuddin juga dilaporkan berkata beberapa individu lain dipercayai peniaga dan penduduk kampung akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai