Skip to main
Logo Malaysiakini

AG perlu dedahkan nasihat kepada k'jaan berhubung sidang parlimen - NGO

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sekumpuan pertubuhan sivil mahu Peguam Negara Idrus Harun turut memberikan pandangan kepada orang ramai mengenai Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki parlimen bersidang enam bulan selepas kali terakhir ia berlangsung.

Gesaan itu dibuat selepas Idrus secara terbuka memberitahu keputusan mengadakan sidang parlimen terletak kepada keputusan kabinet dan bukan budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Untuk rekod pertengahan Jun lalu Istana Negara mengeluarkan kenyataan yang memberitahu Agong berpendapat parlimen wajar bersidang semula secepat mungkin.

Kenyataan itu kemudian disokong Majlis Raja-raja.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagaimanapun memberitahu kerajaan menjangkakan parlimen akan kembali dibuka - selepas digantung kerana pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos - pada Sept atau Okt ini.

Menurut pertubuhan sivil berkenaan penjelasan yang sewajarnya daripada Idrus diperlukan kerana wujud pentafsiran berbeza mengenai kehendak Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut peruntukan itu Agong hendaklah memanggil parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.

Kata NGO terbabit peguam negara perlu menjelaskan kepada orang ramai mengenai nasihat yang diberikan kepada kabinet mengenai kesan daripada kegagalan untuk memanggil semula parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) bersidang dalam tempoh masa enam bulan selepas hari persidangan terakhir.

Bersidang tepat pada masa

Turut perlu dijelaskan, kata mereka, sama ada persidangan semula badan-badan perundangan terbabit selepas 1 Ogos - apabila darurat tamat - akan mengakibatkan pembubaran automatik parlimen dan DUN.

"Orang ramai berhak mengetahui nasihat perlembagaan peguam bnegara mengenai persoalan penting ini," katanya.

Sekiranya peguam negara bersetuju dengan kedudukan itu dan andainya nasihat sudah disampaikan kepada kabinet, Istana Negara dan orang ramai dapat menilai sama ada kegagalan parlimen dan DUN bersidang sebelum 1 Ogos akan menyebabkan pembubaran automatik semua badan perundangan ini pada 2 Ogos atau tidak.

Ia juga kata mereka akan menentukan sama ada pilihan raya umum dan pilihan raya negeri wajar diadakan atau sebaliknya sebelum 2 Okt menurut Perkara 55(2).

"Orang ramai juga akan dapat menilai sama ada kegagalan kuntuk menarik balik sekatan-sekatan dan memudahkan persidangan semula parlimen dan DUN sebelum 1 Ogos secara terang-terangan mengendahkan risiko pelanggaran perlembagaan pada Perkara 55(1) yang memberikan suatu kewajiban perlembagaan kepada Agong untuk memastikan parlimen bersidang tepat pada masanya," kata mereka

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Bersih, Bait al-Amanah, Engage, Ideas, Pusat Komas, Reform dan Undi18.

Kali terakhir parlimen bersidang ialah pada 29 Dis tahun lalu. Bagaimanapun tempoh enam bulan yang dinyatakan perlembagaan tidak terpakai sepanjang tempoh darurat.

Namun, persoalannya adakah jam "dibekukan" pada hari darurat dikuatkuasakan atau adakah jam berkenaan terus berdetik semasa darurat, yang sekali gus memerlukan parlimen bersidang sebelum darurat berakhir pada Ogos ini.

Dalam keadaan kedua, kata NGO terbabit, Agong boleh meminta nasihat Mahkamah Persekutuan seperti diperuntukkan dalam Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan.

"Dalam hal keadaan ini, kami mengambil maklum tentang kedudukan konflik yang rumit - sama ada yang dipersepsikan atau keadaan sebenar - yang dihadapi oleh peguam negara disebabkan krisis ini.

"Mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, peguam negara wajib menasihatkan kabinet dan Agong, tetapi tidak dapat memenuhi kewajiban sekiranya kewajiban, keutamaan dan kepentingan berbeza antara pentadbiran perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan raja berpelembagaan," katanya.

Mungkin terbubar secara automatik

Menurut NGO terbabit Seksyen 14(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 menyebut: “Bagi tempoh darurat berkuat kuasa... peruntukan berhubungan memanggil, memprorog dan membubarkan parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai kesan;" dan Seksyen 15(1)(a) menyatakan “Bagi tempoh darurat berkuat kuasa... peruntukan yang berhubungan dengan memanggil, memprorog dan membubarkan DUN dalam jadual kelapan kepada Perlembagaan Persekutuan, perlembagaan mana-mana negeri dan mana-mana undang-undang Negeri tidak mempunyai kesan”.

"Perkataan seksyen-seksyen ini - dibaca bersama dengan Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan sepadan perlembagaan negeri masing-masing - menyebabkan tafsiran yang bertentangan dan berpotensi untuk menimbulkan krisis perlembagaan," katanya.

Mengalu-alukan kenyataan bersama Rais Yatim dan Azhar Harun yang memberitahu Dewan Negara dan Dewan Rakyat sedia mengadakan sidang khas pada awal Ogos, NGO itu menegaskan wujud kekurangan muafakat yang jelas mengenai tafsiran perkara 55(1) itu dan peruntukan serupa perlembagaan negeri.

"Justeru kami menggesa agar persidangan parlimen - atau sekurang-kurangnya persidangan khas tersebut - untuk diadakan selewat-lewatnya pada 1 Ogos kalau pun bukan sebelumnya untuk mengelakkan kemungkinan pembubaran automatik.

"Setakat ini, hanya DUN Melaka mengumumkan rancangan mereka untuk bersidang pada pertengahan Julai.

"Kami menggesa semua negeri yang telah menetapkan jadual untuk bersidang selepas 1 Ogos untuk membuat demikian selewat-lewatnya pada - kalau pun bukan sebelum - 1 Ogos untuk mengelakkan pembubaran secara automatik," katanya.

NGO itu juga manyatakan sidang parlimen dan DUN ketika ini sangat penting kerana ada keperluan mendesak untuk menangani pandemik Covid-19, keadaan ekonomi yang kian lemah dan untuk memberikan kestabilan politik yang lebih besar untuk mengatasi reformasi yang diperlukan.

"Negara tidak sanggup mengadakan pilihan raya mengejut ketika bilangan kes baru harian Covid-19 masih melebihi 5,000," katanya.