Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Turki longgar sekatan, hidup beransur-ansur normal

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

GLOBAL | Turki hari ini mengumumkan sekatan Covid-19 akan dilonggarkan mulai 1 Julai sebagai sebahagian usaha mereka mengembalikan kehidupan normal secara beransur-ansur.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Turki, perintah berkurung waktu malam dibatalkan sepenuhnya dan larangan perjalanan antara bandar ditamatkan mulai Khamis, lapor Anadolu Agency.

Menurut laporan itu semua tempat kerja dan pawagam juga dibuka semula, manakala kafe serta restoran dibenarkan beroperasi tanpa had pengunjung.

Sekatan di kemudahan penginapan juga akan ditamatkan dengan pematuhan kepada penjagaan kebersihan, pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial.

Selain membenarkan upacara perkahwinan, turut diberi kelonggaran ialah acara seperti konsert, festival, dan kem remaja tertakluk kepada pematuhan peraturan ditetapkan.

Taman, kawasan berkelah dan perkhemahan akan dibuka semula kepada orang ramai.

Tidak cukup dengan itu, kerajaan juga memutuskan agar kuarantin wajib 14 hari bagi pelancong dari Bangladesh, Brazil, Afrika Selatan, India, Nepal, dan Sri Lanka akan ditamatkan.

Sementara tempoh kuarantin wajib bagi pelancong dari Afghanistan dan Pakistan dikurangkan kepada 10 hari berbanding 14 hari sebelum ini.

Pada Isnin, Presiden Recep Tayyip Erdogan mengumumkan Turki akan menamatkan perintah berkurung p pada 1 Julai berikutan penurunan kes Covid-19 di seluruh negara.

Pada 1 Jun lalu Tukri mengurangkan beberapa langkah susulan perintah sekatan pergerakan yang ketat selama 17 hari.

Sejak Dis 2019 pandemik itu meragut lebih 3.9 juta nyawa di 192 negara dan wilayah, dengan lebih 180.8 juta kes dilaporkan di seluruh dunia, menurut Universiti Johns Hopkins.

- Bernama