Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes bayi tertukar: HRPZ II sedia bertemu keluarga terbabit

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bersedia untuk berjumpa keluarga tiga bayi yang tertukar bagi mengesahkan kelahiran mereka dan membuat siasatan lanjut kejadian yang dipercayai akibat kecuaian petugas kesihatan 20 tahun lalu.

Pengarah HRPZ II, Dr Selasawati Ghazali, berkata siasatan yang terperinci diperlukan sebelum pihaknya boleh membuat sebarang rumusan dan keputusan.

“Jika keluarga mereka mahu berjumpa, kami bersedia, dan tak ada masalah kerana seperti yang kita tahu, HRPZ II terlibat dengan banjir besar pada tahun 2004 dan 2014.

"Semasa banjir 2014, hampir 300,000 dokumen ditenggelami banjir dan dilupuskan.

“Jadi kami akan cuba mencari dokumen itu kerana kita kena tahu siapa yang terlibat, pegawai-pegawai yang terlibat, kita perlu kenal pasti sebelum kita buat satu rumusan,” katanya.

Selasawati memberitahu demikian ketika ditemui media di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kelantan di Tanjung Chat, Kota Bharu, hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan dua keluarga terpaksa melalui kisah tragis apabila tiga anak mereka, Adryani Iwani Ibeni Yanin, ‘kembarnya’ Adryana Iwani, dan kembar sebenarnya Noratirah Husin yang dilahirkan 20 tahun lalu rupa-rupanya tertukar

Adryani dan kembar seirasnya yang sebenar, Noratirah, hanya bersemuka buat kali pertama pada 2019 dan ia berlaku secara kebetulan di sebuah pasar raya.

Kira-kira setahun kemudian, mereka mula berhubung di media sosial dan mengambil keputusan untuk melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Keputusan ujian itu menunjukkan mereka 99.99 peratus adalah pasangan kembar.

Malaysiakini juga sudah mendapatkan kenyataan Jabatan Kesihatan Kelantan dan mereka memberitahu akan menyiasat kesahihan kes bayi tertukar pada 20 tahun lalu itu.

Selasawati berkata, buat masa sekarang semua pihak mesti memberi masa kepada pihak hospital untuk menyiasat kes yang mempunyai tempoh masa dua dekad lamanya ini.

“Untuk rumuskan tentang kejadian ini, ianya terlalu awal. Lebih baik kita tunggu siasatan dan berbalik kepada (bukti) dokumen.

“Pihak hospital harus tahu kelahiran tiga bayi yang kini berusia 20 tahun itu berlaku di hospital mana, kerana pihak kita hanya tahu mereka lahir di sebuah hospital di Kota Bharu sahaja,” jelasnya lagi.