Parlimen harus bahas ordinan sebelum darurat tamat - Pakar
Ketika Dewan Undangan Negeri di seluruh negara bersiap sedia untuk dibuka semula selepas tempoh darurat, beberapa pakar perundangan berpendapat terdapat keperluan segera untuk parlimen bersidang.
Pakar perlembagaan, Shad Saleem Faruqi berkata, di bawah Perkara 150(2) Perlembagaan Persekutuan, pengisytiharan darurat dan ordinan darurat boleh dibatalkan menerusi parlimen.
Bagaimanapun, sekiranya pengisytiharan darurat dan ordinan darurat dibahas selepas tarikh tamatnya yang dijangka 1 Ogos, ia hanya akan menjadi perbahasan bersifat akademik.
“Pada pandangan saya, pengisytiharan darurat wajar dibentangkan di parlimen sebelum darurat tamat.
“Tak ada gunanya membentangkan sesuatu dengan niat untuk memperhalusinya, kalau dilakukan apabila ia sudah pun tamat. Kenapa nak bercerai lagi kalau pasangan sudah pun mati? Sudah terlambat, kan?” kata Shad kepada Malaysiakini.
Selepas menerima pandangan daripada pemimpin-pemimpin parti pembangkang, pakar-pakar dan Majlis Raja-Raja, pada 16 Jun, Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa parlimen wajar bersidang semula “secepat mungkin”.
Secara khususnya, Agong mahu ahli-ahli parlimen memperdebatkan ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara.
Kerajaan menyasarkan untuk membuka semula Parlimen pada September atau Oktober.
Yang di-Pertuan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Azhar Harun dan Rais Yatim pula berkata Parlimen dijangka dapat dibuka paling lewat awal September.
Menurut Shad, parlimen mesti dibenarkan untuk berfungsi semasa pelaksanaan darurat.
“Parlimen mempunyai fungsi perlembagaan meskipun semasa darurat, dan saya rasa kita mesti membenarkan Parlimen untuk melaksanakan fungsi-fungsi berkenaan,” katanya.
Terdapat duluan untuk hal berkenaan. Pada 1966, darurat dikenakan ke atas Sarawak dan gabenor membuka persidangan Majlis Negri (kini DUN Sarawak) untuk menyingkirkan ketua menteri ketika itu Stephen Kalong Ningkan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai