Pertubuhan Pasar Malam KL gesa k'jaan buka semula pasar malam
Sebuah pertubuhan yang mewakili lebih 9,000 ribu penjaja pasar malam di Kuala Lumpur hari ini menggesa kerajaan mempertimbangkan kebenaran untuk pasar malam beroperasi semula.
Presiden Pertubuhan Pengurusan Pasar Malam Kuala Lumpur (PPMKL), Gulam Muszaffar Gulam Mustakim mendakwa, penjaja pasar malam tidak menerima layanan setimpal seperti pasar pagi dan Pasar Prihatin di Kuala Lumpur.
"Apa beza kami dengan pasar pagi? Semua penjaja pasar malam di Kuala Lumpur mengalami masalah untuk mendapat sumber pendapatan. Sejak dua bulan lepas (kami) tidak ada pendapatan kerana tidak dibenarkan berniaga.
"Apa beza kami dengan pasar pagi? Menteri memberi kebenaran kepada zon bebas berniaga (Pasar Prihatin) di Kuala Lumpur. Mereka dibenarkan, tapi kami tidak.
"Yang tidak mempunyai lesen (dari DBKL) masih berniaga di Pasar Prihatin. Tapi, penjaja pasar malam yang mempunyai lesen tidak dibenarkan," katanya dalam sidang media di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur hari ini.
Untuk rekod, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 12 Jun lalu menafikan mengamalkan dasar pilih kasih dalam membenarkan aktiviti perniagaan di ibu kota sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan sebarang kebenaran untuk perniagaan beroperasi tertakluk kepada keputusan dan arahan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ini selepas Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mendakwa wujud layanan dua darjat oleh DBKL dalam membenarkan pasar-pasar beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.
Sementara itu, Gulam meminta Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa segera mengadakan perjumpaan dengan wakil penjaja pasar malam di Kuala Lumpur.
"Kami terima sekali sahaja bantuan kerajaan iaitu RM500 pada tahun lepas.
"Kami nak kerajaan segera mengadakan satu perbincangan dengan kami, agar menyelesaikan isu penjaja pasar malam di Kuala Lumpur," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai