PKS gesa moratorium automatik pinjaman 6 bulan
Persatuan Pengusaha-Pengusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) hari ini menggesa kerajaan untuk melanjutkan moratorium pinjaman keenam secara automatik kepada semua PKS dan tidak boleh membiarkan bank-bank untuk membuat perbincangan berdasarkan kes demi kes.
Presiden Samenta William Ng menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai pakej bantuan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bernilai RM150 bilion, berkata ia termasuk banyak cadangan lain yang disuarakan pihak mereka.
"Kebanyakan PKS mengalami masalah mendapatkan moratorium, kerana pihak bank menyenaraikan-hitamkan mana-mana peminjam yang tercicir bayaran.
"Ini mengakibatkan banyak permohonan PKS ditolak, bahkan sebelum permohonan mereka dimasukkan ke dalam sistem.
"Harus diingati bahawa memang kerana mana-mana PKS tidak dapat membayar pinjaman mereka, wujudnya keperluan untuk memohon moratorium pinjaman," kata Ng.
Mengenai Program Subsidi Program Subsidi Upah 4.0 (PSU4.0) Ng berkata ahli Samenta menyambut baik langkah kerajaan untuk menaikkan sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar sebanyak RM600 setiap pekerja selama tempoh empat bulan dan menghapus had gaji untuk kelayakan.
"Walau bagaimanapun, pandangan kami adalah bahawa PSU4.0 ini seharusnya diberi sehingga akhir tahun.
"Seperti yang diumumkan perdana menteri, semua perniagaan termasuk yang dibenarkan beroperasi akan mendapat subsidi ini.
"Adalah lebih bermakna jika PSU4.0 ini diberikan khusus kepada PKS yang tidak dibenarkan beroperasi, dan untuk selama mereka tidak dibenarkan beroperasi," katanya lagi.
Selanjutnya, Ng meminta kerajaan untuk membenarkan semua sektor ekonomi dibuka semula bawah SOP Covid-19 yang ketat sebaik sahaja jumlah jangkitan harian turun di bawah 4,000 kes.
Pelan Pemulihan Negara menyenaraikan pembukaan secara beransur-ansur menurut industri, setelah purata kes harian kurang dari 4,000 kes selama seminggu.
Ini selain dua tanda aras lain iaitu kadar imunisasi nasional dan tahap keupayaan ICU.
"Kita harus sedar bahawa industri-industri saling berkaitan, dan satu-satunya kriteria untuk membuka semula industri seharusnya adalah keselamatan dan kemampuan untuk melaksanakan jarak sosial.
"Kita tidak patut membezakan perniagaan berdasarkan mana yang perlu dan mana yang tidak.
"Sekiranya ianya selamat untuk membuka kembali mana-mana sektor, tidak ada alasan mengapa sektor lain tidak dibuka semula melainkan penjarakan sosial tidak dapat dilakukan," katanya Ng.
Katanya, Samenta dan persatuan peruncit lain berjanji akan memastikan PKS mematuhi prosedur operasi standard yang dipertingkatkan sekiranya dibenarkan beroperasi seawal Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.
"Ringkasnya, kami bersyukur kerana pemerintah telah menunjukkan keprihatinan terhadap PKS, tetapi Pemulih perlu diperbaiki untuk mencerminkan keperluan PKS di akar-umbi," jelasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai