Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Semangkuk mi segera berkuah air mata

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Makan mi segera kerana berjuang mengalahkan rasa lapar sangat berbeza perasaannya jika dibandingkan menikmati mi segera sewaktu berkhemah mengisi masa lapang.

Lagilah jauh bezanya jika memasukkan jurai-jurai mi kenyal itu ke dalam mulut dan membiarkan ia melepasi kerongkong semasa berada dalam ruang pejabat atau rumah berhawa dingin.

Merakamkan detik itu secara swafoto untuk dibangga-banggakan kepada jutaan orang di alam maya sekadar melengkapkan lagi gamangnya gaya individu berkuasa berkenaan cuba belajar menjadi rakyat biasa.

Mari saya ceritakan sebuah kisah benar bernama kelaparan semasa membanting tulang di sebuah kawasan pembinaan dalam Felda di Lipis.

Beberapa dekad lalu saya selalu berseteru dengan kebuluran. Untuk mengalahkannya saya bersandar kepada mi segeralah. Selama berhari-hari saya menjadikan mi segera sebagai talian hayat mengalahkan lapar.

Kejadian itu berlaku kerana majikan tempat saya memburuh culas membayar gaji kami. Akibatnya pekerja putus wang untuk belanja. Pun begitu hidup perlu terus.

Semasa bermusuh dengan kelaparan dan kebuluran, memang syaitan galak membisikkan bermacam-macam ilham. Dan ia bukan bisikan yang biasa-biasa.

Kadang-kadang lintasan kelibat tikus liar di celahan atap rumah kongsi pun cukup untuk menjentik perasaan kita agar bingkas bangun memburunya untuk dijadikan lauk. Sungguh!

Mujurlah masih ada iman tersisa di dada buat menjadi perisai kawalan akal agar tetap menjadi waras.

Dan mi segera jugalah tempat saya melepaskan diri daripada rasa kebulur. Ketika ia disuap ke dalam mulut air mata hiba pun tumpah ke dalam mangkuk dan kuah pun bertambah.

Biar pun seramai mana - atau sekental mana - orang kenamaan cuba menjadi marhaen dengan memamah mi segera, ia tidak akan pernah sama dengan derita rakyat bawahan ini mahu meneruskan hidup.

Loya dengan kepura-puraan

Dalam apa keadaan pun, dalam dunia sekarang, yang 'disumpah' untuk terseksa dan menanggung beban adalah orang biasa. Selain itu semuanya adalah sandiwara belaka.

Mahu apa sebenarnya tuan-tuan budiman menayangkan lakonan memakan mi segera itu?

Maaflah. Jika aksi itu sekadar mahu bergurau atau berlakon, anda melakukannya dengan sangat gagal, tawar dan menjengkelkan. Terus terang, kami berasa sangat loya melihat kepura-puraan tersebut.

Tuan-tuan mohon sedar diri bahawa kami rakyat jelata ini sangat terkesan dengan peperangan melawan musuh yang tidak nampak di mata ini. Rakyat keliru, tertekan dan murung, sama ada kerana terbelit hutang atau terputus mata pencarian.

Ia tidak terubat dengan telatah anda memotong gaji sekian bulan ketika kami tahu sepasang kasut yang membalut kaki tuan-tuan itu mungkin sama nilainya dengan gaji marhaen selama setahun.

Saya ini sekarang kerjanya menjadi jurupandu alam semula jadi. Sektor pelancongan adalah dunia yang dekat dengan kantung rezeki saya. Ketika Covid-19 masih terus mengganas, sektor ini adalah tubuh yang sedang nazak dalam unit rawatan rapi hospital.

Saya sendiri sudah lebih setahun terputus sumber pencarian melalui aktiviti ini. Mujur jugalah ada bantuan ihsan untuk orang bujang yang begitu besar daripada kerajaan iaitu sebanyak RM100.

Cuma mungkin perlu saya ceritakan, saya mengambil masa yang sangat lama untuk berkira-kira bagaimana wang ihsan 'sebesar' itu boleh dihabiskan dengan sempurna.

Di Lipis ini tiga ikat sayur pun kadang-kadang boleh mencecah harga RM14.

Pada awal PKP dulu saya diberi borang bantuan pertanian bandar. Selang dua hari selepas menerimanya, saya menghantar borang terisi lengkap itu ke pejabat pertanian daerah.

Sampai ke saat tulisan ini saya siapkan, bantuan yang dimaksudkan itu belum nampak bayang-bayangnya. Maka saya pun tertanya-tanya akan maksud bantuan untuk semua seperti yang diuar-uarkan oleh perdana menteri itu.

Dalam pening-pening lalat mencari maksud itu, syukur akal yang sihat mengilhamkan saya memanfaatkan RM100 tu untuk membeli benih tanaman dan peralatan berkebun.

Mudah-mudahan ada berkatnya nanti di batas-batas sayur yang saya siapkan di depan rumah.

Sesungguhnya rata-rata kami - rakyat marhaen ini - tidak pernah dengki pun dengan kemewahan dan harta kekayaan tuan-tuan orang kenamaan di atas sana.

Kami cuma mengharapkan pemimpin-pemimpin tolonglah bersikap wajar. Sama-sama kita berusaha mencari jalan agar dapat keluar dari musibah ini. Jenaka seperti mi segera tadi sangat tidak diperlukan dalam keadaan sekarang, atau pada bila-bila masa pun.


UBI MARCHINO ialah jurupandu alam semula jadi yang berminat melukis sambil sesekali menulis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.