Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua pemimpin kanan PAS anggap bendera putih tanda mengalah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Rakyat tidak sepatutnya diajar mengalah dengan mengangkat bendera putih apabila berdepan ujian Allah SWT, kata pemimpin PAS, Nik Abduh Nik Aziz.

Ahli Parlimen Bachok itu berkata, sebaliknya mereka yang diuji perlu menadah tangan memohon doa kepada Allah SWT.

"Angkat tangan berdoa kepada-Nya. Itulah bendera kekuatan dan optimis dalam ujian kehidupan.

"Jangan angkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengajar rakyat mengangkat bendera putih," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Kenyataan itu hadir ketika sejumlah pengguna media sosial menggerakkan kempen kibar bendera putih.

Kempen itu meminta pihak yang terputus bekalan makanan menaikkan bendera putih di rumah masing-masing untuk membolehkan mereka dibantu.

Kempen itu juga bagi memberi isyarat kepada orang lain untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan segera.

Putih tanda mengalah

Tidak jelas bagaimana atau bila kempen itu dimulakan, tetapi semakin banyak berkongsi mesej yang sama sejak petang semalam.

Antara lain, mesej seumpamanya disertakan dengan pesanan agar tidak mengambil tindakan ‘drastik’ dalam menghadapi kesulitan.

"Kepada yang susah, tiada makanan, naikkan #benderaputih di rumah anda, biar orang sekeliling membantu setakat yang termampu.

"Jangan ambil tindakan yang merugikan diri sendiri dan keluarga. Tidak perlu rasa malu. Hanya kibarkan kain putih.

"Semoga ada yang datang membantu," kata pengguna Twitter @JawaJohor2.

Senada dengan pandangan Nik Abduh ialah Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar, yang berpendapat ada cara lain yang lebih baik dan menjaga maruah untuk orang ramai meminta bantuan.

Malah Rosli menganggap menaikkan bendera putih adalah langkah mengibarkan kekalahan.

"Saya tak setuju cadangan dinaikkan bendera putih untuk maklumkan kita kehabisan makanan kerana: Ada yang akan ambil kesempatan, memelihara maruah diri dan ummah.

"Kita masih ada cara yang lebih baik dan dapat menutup keaiban orang," katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Segera santuni mereka

Rosli yang juga Adun Tanjung Lumpur menambah menaikkan bendera putih seumpama orang kalah perang sedangkan, katanya, "kita masih ada kekuatan".

“[...] Jangan angkat bendera putih, macam orang kalah perang, kita masih ada kekuatan, kibarkan panji Islam dengan kibaran syiarnya Islam sebagai agama yang saling membantu," katanya.

Kata Rosli cara yang lebih baik ialah ahli parlimen, Adun serta organisasi seperti jawatankuasa kemajuan dan keselamatan rancangan (JKKR), kelab rukun tetangga (KRT) dan kejiranan harus memainkan peranan menyalur dan menyampaikan bantuan.

Rumah-rumah ibadat seperti masjid dan surau, serta kuil, tokong, gereja atau pusat komuniti bagi komuniti bukan Islam pula, katanya, boleh dijadikan pusat bantuan, selain talian operasi yang dihubungi penduduk.

“Yang memerlukan bantuan boleh datang atau menghubungi talian operasi, data maklumat akan dapat mengelakkan orang mengambil kesempatan, datang berulang kali sehingga rumah mereka jadi stor menyimpan barang sumbangan, sekali gus ianya dapat memelihara maruah,” katanya.

Untuk rekod PAS ketika ini adalah sebahagian daripada kerajaan dan menjadi anggota komponen gabungan Perikatan Nasional.

Sementara itu, bekas Yang di-Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Nik Omar Nik Abdul Aziz pula memuat naik sekeping poster yang membawa pesan berbeza berbanding Nik Abduh dan Rosli.

“Yang angkat bendera putih tu adalah termasuk dalam kategori orang miskin yang meminta secara jelas. Bersegeralah santuni mereka,” katanya.

Poster itu turut memaparkan ayat 19 Surah adz-Dzaariyaat yang bermaksud: “Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian”.