Pemimpin AMK Selangor tampil bela Najwan
Seramai 17 pemimpin Pemuda PKR (AMK) di Selangor tampil menyatakan sokongan kepada Adun Kota Anggerik, Najwan Halimi, yang dilucutkan jawatannya daripada mengetuai sayap berkenaan semalam.
Daripada 17 pemimpin terbabit 14 adalah ketua AMK peringkat cabang manakala baki tiga lagi timbalan ketua.
Dalam kenyataan bersama dikeluarkan mereka berkata pengguguran jawatan Najwan seperti yang diumumkan semalam dibuat tanpa sebarang asas atau alasan kukuh.
"Mewakili anggota AMK peringkat cabang seluruh Selangor, kami membantah sekeras-kerasnya keputusan yang dilakukan secara tergesa-gesa, semberono dan tidak melalui konsensus tersebut," katanya.
Mereka mendakwa sepanjang tempoh lebih dua tahun Najwan memimpin AMK Selangor, dia mempamerkan kualiti yang cemerlang serta berperanan penting menyatukan sayap itu yang berpecah-belah selepas Langkah Sheraton.
Najwan juga kata mereka memastikan pandangan, cadangan serta suara anggota akar umbi di Selangor diperjuangkan di peringkat yang lebih tinggi serta ditangani dengan baik.
"Justeru, kami menzahirkan solidariti dan dukungan penuh kepada Najwan serta menuntut Ketua AMK Malaysia (Akmal Nasir) agar menarik semula keputusannya semalam dan mengekalkan kedudukan Najwan sebagai ketua AMK Selangor demi memastikan kestabilan dan untuk mengelakkan perpecahan dalaman parti," kata kenyataan tersebut.
Ketua AMK cabang yang menandatangani kenyataan itu ialah Mohd Shah Rezza Mohd Tuniman (Kuala Langat), Mohd Fitri Jamaludin (Puchong), Muhammad Dzul Hilmi Zainol (Damansara), Muhammad Hanafi Jalalludin (Hulu Langat), Saiful Azlan Zainal (Bangi), Saifuddin Shafi Muhammad (Hulu Selangor), S Jestin Raj (Kota Raja), Ahmad Faiz Mustapa Kamal (Klang), Shahrulnizam Abdul Rahim (Petaling Jaya), Mohd Helmi Sanusi (Tanjong Karang), Megat Shariffudin Shaharuddin (Kapar), Awalluddin Shariff (Ampang), Arie Yudistira Ishaq Arifin Fadli (Gombak) dan S Selventhiran (Kuala Selangor).
Tiga lagi yang menyertai kenyataan itu ialah Mohamad Kusini Abd Rahim (timbalan ketua AMK Selayang), Syafiq Iqmal Fozi (timbalan ketua AMK Sungai Buloh), dan Mohd Izat Hamirudin (Timbalan Ketua AMK Pandan).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai