Skip to main
Logo Malaysiakini

Bicara Najib berkaitan 1MDB disambung 5 Julai

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perbicaraan rasuah terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak berkaitan dana RM2.28 bilion 1MDB akan disambung pada 5 Julai ini.

Ini selepas perbicaraan yang dijadualkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam ditangguhkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) yang sedang berlangsung.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib hari ini mengesahkan bahawa mahkamah telah mengosongkan tarikh perbicaraan minggu ini dan akan disambung pada 5 Julai.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan tarikh hari ini untuk membicarakan kes berkenaan berikutan berikutan penangguhan akibat PKP.

Sepanjang tempoh PKP, perbicaraan kes jenayah secara terbuka tidak dibenarkan.

"Kami menerima e-mel petang semalam yang memaklumkan bahawa kes ini telah dikosongkan minggu ini.

"Jadi mengikut jadual, tarikh berikutnya adalah pada 5 hingga 8 Julai," kata Akram kepada Malaysiakini pagi ini.

Kes itu kali terakhir didengar di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah pada 27 Mei.

Melalui keterangan yang diberikan semasa prosiding pada hari itu, saksi pendakwaan ke-10 dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman mendakwa bahawa lembaga pengarah 1MDB "bersandiwara" mengenai dana milik Umno di luar negara. 

Najib menghadapi empat tuduhan salah guna kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion.

Selain merupakan bekas perdana menteri, tertuduh juga pernah menjadi menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).