Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada tanda penurunan - 6,276 kes baru Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan hari ini memaklumkan sebanyak 6,276 kes baru Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Ini merupakan hari kedua berturut-turut jangkitan direkodkan melebihi 6,000.

Selangor melaporkan 2,836 kes harian, yang merupakan angka tertinggi di negeri ini sejak 3 Jun.

Apa yang membimbangkan, hampir satu daripada setiap lima kes baru di Selangor hanya dikesan selepas mangsa mengalami gejala. Kes-kes ini bukan daripada kontak rapat atau kluster sedia ada.

Kadar R-naught untuk seluruh negara meningkat kepada 1.04 setakat malam tadi. Kadar lebih daripada 1.00 menandakan penularan wabak yang meningkat.

Selangor, Melaka, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak mencatatkan kadar R-naught lebih daripada 1.00.

Satu-satunya negeri yang menunjukkan penurunan kadar R-naught yang signifikan adalah Terengganu (0.67.

Berikut maklumat utama wabak Covid-19 hari ini:

  • Pesakit sembuh: 4,929
  • Kes baru: 6,276
  • Kes aktif : 64,129
  • Pesakit dalam ICU: 905
  • Pesakit perlukan bantuan pernafasan: 452
  • Kematian: 62

 Kematian

Jumlah keseluruhan kes kematian kini sebanyak 5,170 kes.

Daripada 62 kes kematian hari ini, tujuh daripadanya meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital.

Tiga kes pula melibatkan pesakit berusia bawah 40 tahun. Dua daripadanya, iaitu lelaki 39 tahun (meninggal dunia di Hospital Labuan) dan perempuan 38 tahun (meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar) tidak mengidap sebarang penyakit lain.

Untuk maklumat lanjut mengenai kes kematian, layari laman penjejak Covid-19 Malaysiakini.

Kluster

Sebanyak 23 lagi kluster baru yang dikenal pasti hari ini, menjadikan jumlah kluster aktif pada masa ini sebanyak 886 kluster.

Jumlah kluster yang telah tamat setakat ini pula sebanyak 1,958 kluster.

Sebanyak 13 kluster baru dalam kategori tempat kerja, diikuti dengan lapan kluster komuniti, dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi dan pendidikan lain.