Skip to main
Logo Malaysiakini

S'gor sasar tingkatkan purata vaksinasi harian hingga 42 peratus

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penduduk Selangor akan divaksin pada kadar lebih cepat memandangkan lebih empat juta dos vaksin Covid-19 akan dihantar ke negeri itu pada Julai.

Berdasarkan data Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) didedahkan Dr Siti Mariah Mahmud semalam, Selangor disasarkan untuk memberi 3.8 juta dos daripada empat juta dos yang dibekalkan, menjelang akhir Julai.

Pada minggu berikutnya, CITF berkata 874,610 dos vaksin akan dibekalkan ke negeri itu.

Untuk menggunakan semua dos yang dibekalkan itu, pusat-pusat vaksin di Selangor mesti memberikan vaksin secara purata 124,944 dos sehari, dengan pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) harus beroperasi tujuh hari seminggu.

Ini merupakan 42 peratus atau 37,328 dos lebih banyak daripada kapasiti maksimum harian negeri itu iaitu 87,616 dos sehari, seperti didedahkan Siti Mariah yang merupakan exco untuk hal ehwal kesihatan awam di Selangor.

Katanya, Selangor sedang berusaha memberikan sokongan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) supaya ia boleh memberikan vaksin pada kadar lebih cepat, selepas menerima pengesahan berhubung bekalan yang akan diterima bermula esok itu.

“Menteri Besar akan membuat pengumuman mengenai hal ini tak lama lagi,” katanya.

 

Buat masa sekarang, bukan semua PPV beroperasi pada hujung minggu, di kala menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ada menyebut tentang isu sumber manusia di negeri itu.

Pada Mei, Khairy berkata PPV akan mula beroperasi pada hujung minggu tidak lama lagi.

Dia turut berkata kapasiti vaksinasi Selangor akan meningkat kepada 130,000 dos sehari pada Julai, tetapi tidak menjelaskan bagaimana ia dapat dilakukan.

PICK diuruskan oleh CITF, dibantu oleh jabatan kesihatan negeri, yang juga merupakan entiti persekutuan di bawah Kementerian Kesihatan.

Bekalan vaksinasi dan kadar pemberian janji temu adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa CITF.

Ke mana 4 juta dos untuk Selangor akan diperuntukkan?

Meningkatkan kadar vaksinasi di Selangor bermakna perlunya penambahan PPV, dan bermakna tekanan yang meningkat ke atas JKNS untuk menyediakan pemvaksin dan kakitangan sokongan.

Selangor mempunyai sekurang-kurangnya 76 PPV yang kini beroperasi.

Ini termasuk 44 di klinik kesihatan, 13 di dewan dan kemudahan awam, 13 di hospital kerajaan dan hospital mengajar, dan enam di PPV “integrasi atau mega”.

Bukan semua pusat vaksin diuruskan oleh JKNS, dengan PPV mega diuruskan entiti swasta.

PPV mega di Pusat Konvensyen Setia City, contohnya, diuruskan oleh IHH Healthcare Malaysia, yang menggunakan sumber manusianya sendiri.

Dalam aturan sedemikian, vaksin dibekalkan secara langsung oleh GLC kesihatan ProtectHealth Corporation (PHCorp) ke PPV, tanpa melalui JKNS.

Begitu juga, PHCorp membekalkan vaksin secara langsung ke klinik-klinik kesihatan awam yang mendaftar sebagai PPV, dan ini tidak termasuk di bawah bidang kuasa JKNS.

Pada 1 Jun, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata sebanyak 750 klinik kesihatan awam di Selangor mendaftar sebagai pemberi vaksin Covid-19, dengan sekurang-kurangnya 200 dilatih oleh PHCorp.

JKNS turut tidak menguruskan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas), yang diuruskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan PHCorp.

Di bawah Pikas, syarikat boleh memilih sama ada mengatur untuk kakitangan mereka divaksin di PPV atau di premis mereka sendiri, bergantung kepada bilangan kakitangan.

Daripada empat juta dos yang diperuntukkan ke Selangor pada Julai ini, tidak jelas berapa banyak yang akan diagihkan di bawah Pikas.

Data kapasiti harian untuk setiap PPV di Selangor tidak dapat diakses orang awam.

Hanya 14 peratus penduduk Selangor yang sudah menerima dos pertama vaksin.

Terdahulu, Siti Mariah dan Khairy terlibat dalam perselisihan awam selepas Khairy berkata Selangor memberikan vaksin dengan terlalu perlahan, pada kadar kurang daripada 50,000 dos sehari.

Siti Mariah berkata bahawa PPV di negeri itu mempunyai kapasiti pemberian vaksin pada kadar 80,000 sehari tetapi tidak dibekalkan dengan vaksin yang cukup.

Bagaimanapun, Khairy berkata CITF membekalkan vaksin berdasarkan kapasiti negeri itu untuk memberikan 40,000 dos sehari, seperti yang dimaklumkan kepada CITF dalam pertemuan dengan Menteri Besar Amiruddin Shaari.

Selangor ialah negeri dengan penduduk teramai di negara ini, dan secara konsisten mencatatkan jumlah kes Covid-19 tertinggi setiap hari.

Sehingga 29 Jun, seramai 914,648 orang atau 14 peratus daripada populasi Selangor sudah menerima dos vaksin pertama mereka, sementara 287,127 orang atau 4.4 peratus lagi sudah menerima kedua-dua dos.

Sebagai perbandingan, 1.03 juta orang atau 36.6 peratus penduduk di Sarawak sudah menerima dos pertama mereka sementara 246,259 orang atau 8.7 peratus sudah menerima kedua-dua dos.

Khairy berkata vaksinasi di negeri Borneo itu dipercepat sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya negeri.

[Baca laporan asal]