Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kenakan ‘cukai kecemasan’ pada 50 orang terkaya di Malaysia

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tindakan Menteri Kewangan Senator Tengku Zafrul Abdul Aziz membenarkan pengeluaran KWSP sejak tahun lepas menunjukkan betapa “tidak cerdiknya” (incompetent) dalam isu ekonomi rakyat kerana tindakan beliau akan menyebabkan pengangguran orang muda pada masa depan.

Sebelum Covid-19, gaji majoriti rakyat Malaysia terlalu rendah menyebabkan caruman KWSP tidak mencukupi untuk ramai pekerja untuk bersara.

Malah, kos rumah dan sara hidup yang terlalu tinggi menyebabkan berjuta-juta pekerja tidak mampu membuat simpanan persaraan tambahan termasuk golongan profesional seperti jurutera, doktor, pensyarah dan arkitek.

Pengeluaran KWSP kali akan menghapuskan simpanan persaraan yang sedia ada untuk berjuta-juta rakyat Malaysia dalam sekelip mata.

Rentetan itu, berjuta-juta rakyat tidak mampu bersara untuk mengeluarkan diri mereka daripada tenaga buruh negara apabila mencapai usia persaraan dan terpaksa bekerja sampai mati.

Manakala, anak muda yang mencapai usia bekerja terpaksa bertanding dengan orang tua untuk pekerjaan di semua sektor.

Malah, gaji untuk 99% rakyat akan mula menurun kerana jumlah tenaga buruh melebihi tawaran pekerjaan.

Golongan majikan dan kapitalis akan menggunakan peluang tersebut untuk merendahkan gaji untuk seluruh kelas pekerja menyebabkan jurang kaya miskin menjadi lebih teruk.

Zafrul sewajarnya melaksanakan “Pendapatan Asas Sejagat Bersasar” -T argeted Universal Basic Income- (Tubi) iaitu sejenis pembayaran wang secara terus daripada kerajaan kepada rakyat untuk memastikan kehidupan asas terjamin sehingga ekonomi pulih.

Kerajaan sewajarnya mengenakan “cukai kecemasan” sebanyak 10% terhadap 50 orang terkaya di Malaysia yang akan menjana hampir RM37 bilion untuk melaksanakan Tubi.

Pada 2020, ekonomi negara telah merosot sebanyak 5.6% tetapi kekayaan 50 orang terkaya di negara telah meningkat sebanyak 14% kepada RM374 bilion (AS$90billion) .

Ketidakmampuan Zafrul memahami impak jangka masa panjang terhadap ekonomi rakyat menunjukkan betapa tidak cerdik golongan teknokrat daripada pihak korporat dalam mengendali pentadbiran negara.


SHARAN RAJ ialah ahli Jawatankuasa Pusat (CC) Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap setiausaha negeri PSM Melaka.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.