Skip to main
Logo Malaysiakini

Rombakan di S'gor, Perlis beri laluan kepada pelapis baru - ketua AMK

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Rombakan barisan kepimpinan Pemuda PKR (AMK) yang berlaku di Selangor dan Perlis Isnin lepas bertujuan untuk memberi peluang kepada pelapis-pelapis baru.

Ketua AMK Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata ia juga adalah untuk memastikan kesinambungan kepimpinan AMK negeri dapat diteruskan.

“Kepimpinan ketika ini tidak akan terus memimpin, jadi perlu beri ruang kepada kepimpinan lebih muda supaya apabila kami tamat memegang jawatan pada 2023 nanti pelapis baru dapat mewarisi dan sudah ada tanggungjawab mereka daripada sekarang.

“Oleh sebab itu, saya menilai bahawa perlu berlaku rombakan selepas selesai Kongres Nasional Tahunan PKR baru-baru ini dan juga Pilihan Raya Umum (PRU) nanti kerana kita mahu tonjol pelapis baru.

"Cuma saya ingin ingatkan rakan-rakan (AMK) supaya elakkan daripada perkara ini menjadi spekulasi,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai sebab utama rombakan itu dilakukan, di Johor Bahru hari ini.

Akmal berkata pihaknya sudah melakukan perbincangan dengan cabang-cabang AMK Selangor dan calon baru bagi menggantikan Ketua AMK Selangor Najwan Halimi yang digugurkan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Begitu juga AMK Perlis akan menyusul kemudian, mungkin minggu hadapan atau hujung minggu ini. Ketua AMK baru ini akan menyusun barisan kepimpinan mereka nanti,” katanya.

Ketika ditanya adakah barisan kepimpinan AMK di negeri lain juga bakal dirombak, dia berkata rombakan dibuat berdasarkan keperluan dan penilaian akan dibuat terlebih dahulu.

-Bernama