Skip to main
Logo Malaysiakini

PULASAN | Berseteru dengan bendera putih

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tanpa sedar, sudah disepakati umat manusia bahawa putih adalah warna yang baik, suci, murni dan mulia. Ia diterima secara meluas sehingga otak kita diprogramkan secara tidak sedar untuk mencipta naratif bahawa apa saja yang putih atau cerah, ia adalah baik.

Justeru bagi sesetengah orang, dia akan cepat membuat kesimpulan sendiri untuk meletakkan 'hukum' baik atau jahat berdasarkan warna kulit individu yang ada di depannya.

Dengan 'kesedaran' itu jugalah kita selalu diperdaya oleh orang yang jahat. Mereka menipu dan memperdaya manusia dengan putihnya pakaian yang membaluti tubuh masing-masing.

Memanglah tidak semua akan terpedaya. Tetapi jika ada 95 daripada 100 orang yang cuba dihelahkan itu termakan umpan jahat mereka, ia sudah memadai. Bayangkan jika kejahatan itu dapat dipamerkan sebagai sesuatu yang suci untuk skala yang lebih besar.

Tidak seperti wana putih, situasi kritikal akibat Covid-19 nampaknya hanya sedang digeluti oleh orang yang ada di dalam negara ini. Hal itu kerana di banyak negara lain mereka sudah perlahan-lahan kembali ke kehidupan biasa. Iaitu kehidupan sebelum munculnya virus yang mudah musnahkan tapi membawa maut dari Wuhan sana.

Sedangkan kita perlahan-lahan masuk ke dalam gaung yang kian gelap dan dalam.

Maka datanglah suatu inisiatif yang digerakkan oleh rakyat biasa. Muncul gerakan menaikkan bendera putih tanda minta bantuan. Ia bukan tanda mengalah seperti yang cuba dibingkaikan oleh sesetengah orang yang berasakan diri mereka adalah putih dan bakal memasuki pintu syurga tanpa hisab.

Itulah, sudah terbiasa 'menjadi tuhan' dan berasa suci, kumpulan itu menganggap segala-galanya adalah hak mereka, waima menjadi diktator dengan memaksakan makna warna putih.

Elak dimarahi orang

Tetapi itu tidaklah menghairankan kerana pada waktu ini pun kumpulan berkenaan menyangka syurga dan neraka itu sendiri adalah harta pusaka yang diwariskan oleh bapa mereka sejak turun-temurun.

Justeru seseorang yang tidak mereka senangi itu akan segera dilabel sebagai makhluk yang tercela atau terpuji dengan sesedap hati mereka saja.

Inisiatif menaikkan bendera putih sebenarnya adalah gerakan mengherdik orang politik. Ia adalah bahasa yang amat lunak berbanding hakikat sebenar kerana hampir semua orang yang berkuasa sekarang patut dicarutkan.

Bendera putih adalah cara orang biasa - yang sesetengahnya pun bergelut untuk memenuhi keperluan sendiri - menyebarkan rahmat dan kebaikan kepada orang yang memerlukan. Namun pada masa sama ia adalah 'cili' yang maha pedas buat sesetengah pihak yang sedar mereka gagal.

Tidak semena-mena mereka terasa pedas.

Justeru untuk membela diri atas kegagalan berkenaan mereka - yang berasa diri suci dan sempurna itu - bersilat berkuntau untuk mengelakkan dimarahi rakyat terbanyak.

Cuma itulah, kadang-kadang bersilat dalam jubah atau kain ini hanya akan menyebabkan orang ramai ketawa. Pertama, ia amat gamang. Kedua, orang ketawa dengan kain dan jubah yang terselak semasa mengatur langkah dan buah.

Lalu mereka bercakap tentang maruah. Memang bangsa tak tahu malu.

Pada masa sama, kita patut mengakui negara ini semakin terbenam dalam selut dan hanyut ke gaung yang kian gelap dari satu detik ke satu detik berikutnya.

Ia ditandakan dengan bendera putih inilah. Untuk menyelamatkan nyawa sendiri saja kita tidak lagi boleh berharap kepada orang yang sedang memegang kuasa.

Hanya rakyat tolong rakyat

Ketika kuasa itu sepatutnya membawa makna mereka boleh berbuat apa saja untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat, tiba-tiba di bawah ini orang ramai bergelut untuk mencari sesuap nasi.

Orang di atas pula mencari-cari kereta baru. Atau bercakap tentang poligami dan kaitannya dengan tempat duduk dalam kereta. Itu pun kita tidak tahu "kereta" itu adalah kenderaan Axia, Honda City, Mercedes Benz, Ford Raptor atau jenis Vellfire yang kapasitinya lebih besar.

Pun begitu jika inisiatif bendera putih ini terus dimusuhi, mungkin kita wajar mencari alternatif lain. Untuk memuaskan sedikit hati orang politik (kerana mereka sememangnya tidak pernah puas) barangkali kita juga boleh menaikkan bendera parti tertentu.

Perhatikan parti mana yang kuat mahu berseteru dengan rakyat yang menaikkan bendera putih. Maka bendera parti itulah yang dinaikkan. Dan fahamkan kepada orang ramai bahawa setiap bendera parti yang berkibar itu juga adalah isyarat SOS untuk rakyat.

Kita patut menetapkan makna baru untuk bendera parti. Ia bukan lagi lambang sebuah fahaman atau pertubuhan siasah, sebaliknya simbol pertubuhan yang membawa derita kepada rakyat.

Kibaran bendera parti bukan lagi untuk melambangkan kemegahan atau maruah kerana kesusahan rakyat tetap hanya boleh diringankan oleh rakyat biasa juga.

Sebenarnya hari demi hari, kita patut sedar bahawa kita sudah tidak lagi memerlukan orang politik yang pada kebanyakan masa hanya sibuk mencatur itu dan ini demi kesedapan diri dan kumpulan masing-masing.

Maka mereka bukanlah orang yang boleh diharapkan untuk apa pun, kecuali - mungkin - untuk memeriahkan kenduri durian.

Pedulilah apa pun kata, hujah dan dalil mereka. Semuanya itu dapat disimpulkan dengan satu kata: sampah.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian portal ini.

--