Skip to main
Logo Malaysiakini

Rayuan Mkini berhubung saman syarikat lombong emas diketahui esok

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan berhubung rayuan Malaysiakini terhadap saman fitnah oleh syarikat Raub Australian Gold Mining (RAGM) esok.

Panel lima hakim akan menyampaikan keputusan itu melalui sidang video pada jam 9.30 pagi.

Prosiding tersebut akan diadakan secara dalam talian berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0) ketika ini.

Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Abdul Rahman Sebli, Zaleha Yusof, Hasnah Mohammed Hashim dan Harmindar Singh Dhaliwal mendengar rayuan itu pada 1 Disember tahun lalu.

Panel hakim juga telah mendengar hujah daripada kedua-dua pihak.

Malaysiakini membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada Januari 2018 yang memerintahkan portal berita itu membayar RM350,000, meliputi ganti rugi sebanyak RM200,000 dan kos guaman RM150,000  kepada RAGM kerana memfitnah.

Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum itu yang menolak saman RAGM dan memerintahkan lombong emas itu membayar kos RM50,000 kepada defendan.

RAGM mengemukakan saman berhubung laporan Malaysiakini mengenai masalah kesihatan penduduk kampung Bukit Koman di Raub, Pahang yang telah membangkitkan kebimbangan bahawa sianida digunakan oleh syarikat lombong itu untuk mengekstrak emas.

Lombong emas tidak lagi beroperasi

Sejak itu lombong emas tersebut ditutup dan tidak lagi beroperasi.

Beberapa isu penting yang akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam rayuan tersebut ialah sama ada syarikat yang masih dalam proses pembubaran masih boleh menerima ganti rugi kerana memfitnah, dan sama ada pembelaan berhubung reportage atau pelaporan ahrus diterima.

Malaysiakini berjaya mengumpulkan RM350,000 daripada pembaca dan penyokongnya dalam dua minggu untuk membayar ganti rugi dan kos selepas keputusan dibuat Mahkamah Rayuan.

Kebenaran diberikan kepada Malaysiakini untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada bulan Julai 2018.

Hakim Mahkamah Persekutuan Zainun Ali yang mengetuai panel tiga hakim ketika itu, membenarkan sembilan persoalan undang-undang dikemukakan ke mahkamah persekutuan.