Skip to main
Logo Malaysiakini

Akar umbi AMK S'gor tolak pelantikan Adun Rawang sebagai ketua

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Majoriti ketua cabang Pemuda PKR (AMK) Selangor hari ini membantah pencalonan Chua Wei Kiat sebagai Ketua AMK Selangor yang baru.

Dalam satu kenyataan bersama, 13 daripada 22 ketua cabang AMK Selangor berkata mereka membantah pelantikan itu dalam pertemuan secara maya dengan Ketua AMK Malaysia, Akmal Nasir pada 29 Jun lalu.

"Sehubungan dengan itu, kami mewakili majoriti ketua-ketua AMK Cabang dalam negeri Selangor dengan ini menolak pelantikan Ketua AMK Selangor yang baru dan secara sebulat suara memutuskan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Akmal Nasrullah Mohd Nasir selaku Ketua AMK Malaysia," kata mereka dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan tersebut, mereka juga menuntut agar diadakan Kongres AMK Luarbiasa (EGM) bagi memilih semula Ketua AMK yang baru bagi menggantikan Akmal.

Semalam, Setiausaha AMK, Syukri Razab mengesahkan pelantikan Chua yang juga Adun Rawang sebagai ketua AMK Selangor yang baru.

Syukri berkata, pelantikan itu dibuat selepas rundingan dengan 18 ketua AMK semasa pertemuan yang diadakan pada 29 Julai.

Bagaimanapun, kumpulan 13 ketua cabang AMK Selangor hari ini menafikan perkara itu dengan mengatakan hanya 15 ketua cabang AMK Selangor hadir dan hanya tiga daripada mereka menyokong Chua.

Pelantikan ketua AMK negeri merupakan hak prerogatif ketua AMK, yang dilantik dalam pemilihan parti itu sebelum ini.

Akmal baru-baru ini memecat Najwan Halimi selaku ketua AMK Selangor dan membubarkan kepimpinan sayap parti itu di Selangor.

Perkembangan terbaru itu dikatakan berpunca daripada pertelagahan antara penyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan mereka yang setia kepada bekas naib presiden PKR, Rafizi Ramli.

Rafizi pada masa ini tidak lagi aktif dalam politik, manakala Akmal merupakan anak didiknya yang dibawa sebelum ini untuk menyertai PKR.