Skip to main
Logo Malaysiakini

Aktivis lancar petisyen bantah lombong nadir bumi di hutan Jelai

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kumpulan aktivis yang membantah rancangan untuk melombong nadir bumi di Kuala Lipis, Pahang melancarkan petisyen dalam talian bagi mengumpul sokongan orang awam untuk memberi tekanan agar pihak berkuasa membatalkan perkara itu.

Dalam sidang media hari ini, wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM), NGO Misi Solidariti dan Jawatankuasa Bertindak Orang Asli Pos Lanai menggesa orang ramai menandatangani petisyen tersebut, yang akan dikemukakan kepada kerajaan Pahang nanti.

Menurut Setiausaha Agung PSM A Sivarajan, rancangan untuk melombong lantanida akan meliputi kawasan seluas 660 hektar - yang pada masa ini masih dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai - dan akan menjejaskan ekosistem hutan di sana.

"Jelas dokumen dari Pejabat Tanah dan Galian menunjukkan apabila perlombongan dibuat, kawasan itu perlu diwartakan keluar dari hutan simpan.

"Ini persoalan kami: kenapa kerajaan Pahang nak sentuh kawasan yang dikategorikan hutan simpan kekal?" katanya dalam sidang media dalam talian selepas pelancaran petisyen tersebut.

Sivarajan memberitahu Malaysiakini yang mereka hanya tahu laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dihantar kepada pihak berkuasa pada Mac lalu.

Digunakan secara meluas dalam industri dan untuk tujuan saintifik, lantanida adalah satu daripada 15 unsur nadir bumi. Ia juga diproses syarikat nadir bumi Australia, Lynas Corporation di Malaysia.

Sivarajan berkata Hutan Simpan Ulu Jelai adalah sebahagian daripada "tulang belakang" Semenanjung (Central Forest Spine), yang menempatkan banyak spesis flora dan fauna termasuk 80 peratus daripada populasi Harimau Malaya.

Rancangan melombong itu turut membangkitkan kebimbangan ia akan mencemarkan sungai di sekitar, termasuk Sungai Telum, yang menjadi sumber air utama buat Orang Asli Semai di sana.

Jawatankuasa Bertindak Orang Asli Pos Lanai Jeffry Hassan berkata, terdapat 2,000 penduduk di kawasan itu dan kebanyakannya amat bergantung kepada hutan dan sungai.

Sungai Telum juga menjadi medium pengangkutan utama mereka.

"Aktiviti utama Orang Asli Pos Lanai adalah menoreh getah, mengumpul hasil hutan seperti rotan dan sungai pula (tempat mereka) menjala ikan. Kemudian kami akan jual. Ini kegiatan ekonomi kami di sana.

"Kami di Pos Lanai memang berkeras membantah projek ini, ia tidak menguntungkan kami. Projek ini untungkan syarikat besar, apa yang kami dapat adalah kemusnahan hutan," katanya.

Terdahulu, penduduk di situ telah menyuarakan bantahan termasuk menghantar memorandum kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Kata Jeffry lagi, pihaknya sedang menimbang untuk memulakan tindakan undang-undang jika projek itu diteruskan.

Sementara itu, pengasas bersama Misi Solidariti, Sarah Irdina berkata pihaknya telah mewujudkan laman web untuk memberi kemas kini kepada orang ramai berhubung keadaan di Pos Lanai.

Orang ramai juga boleh menghubungi mereka di [email protected] untuk maklumat lanjut.